Bekas Wartawan Mulakan Kayuhan Patriotik Kali Ke-10

Oleh Mohd Afiq Zulkifl

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Sudah menjadi tradisi sejak 2015, apabila tiba bulan kebangsaan, bekas wartawan Che Saad Nordin akan melakukan Kayuhan Merdeka Jelajah Semenanjung Malaysia.

Tidak terkecuali tahun ini, Che Saad, 74, yang pernah berkhidmat dengan pelbagai agensi berita termasuk wartawan sambilan di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), memulakan kayuhan itu pada 2 Ogos lalu dari Padang Serai, Kedah dan dijangka berakhir pada 16 Sept di Perlis, sejauh 2,300 kilometer (km).

Ketika dihubungi, Che Saad yang mesra disapa Pak Saad, berkata dia akan berkayuh dengan purata 80 km setiap hari bergantung pada keadaan cuaca dan kesihatannya. 

“Dari Padang Serai, saya akan  ke Baling, Gerik dan memasuki Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum ke Johor. Kemudian, pada malam 30 Ogos, saya akan berada di Melaka bagi menyambut Hari Kebangsaan di Bandar Hilir bersama-sama dengan kumpulan pengayuh basikal di sana.

“Selepas itu, saya akan menyambung kayuhan ke Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Pulau Pinang dan Kedah, sebelum destinasi terakhir di Kuala Perlis pada Hari Malaysia nanti,” katanya.

Bercerita lanjut, Che Saad yang mempunyai 10 cucu, berkata pada kayuhan kali ini, dia menggunakan basikal lama yang dibeli daripada seorang kawannya, dan  diubah suai seperti tayar dan gear bagi menyesuaikan kenderaan itu untuk kayuhan jarak jauh.

“Sepanjang kayuhan, saya ada bawa bendera kecil untuk diedarkan, sekurang-kurangnya 100 bendera kepada murid sekolah di setiap negeri. Jika ada peluang, saya akan mengambil sedikit masa dan menyampaikan ceramah bagi membangkitkan semangat patriotik dalam kalangan mereka,” katanya.

Ditanya tentang semangatnya untuk berkayuh pada usia emas, Che Saad berkata kegiatan itu sudah menjadi kebiasaan buatnya sebagai satu cara menghargai perwira negara terdahulu yang sanggup berkorban demi negara.

“Arwah ayah saya juga, Nordin Abdullah merupakan bekas anggota Pasukan Mata-Mata Khas (Special Constables) yang ditubuhkan semasa berlakunya darurat angkara keganasan komunis sekitar 50-an.

“Jadi, cerita lama perjuangan orang terdahulu, termasuk daripada ayah saya, amat berbekas dalam diri. Inilah cerita yang akan saya kongsikan dengan anak-anak bangsa kita sepanjang kayuhan kali ini supaya mereka beroleh teladan,” kongsinya.

-- BERNAMA