Pereka Muda Ketengah Elemen Tradisional, Futuristik Dalam Fashion Flux

Oleh Nurhafizah Tan

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Bangga dengan warisan budaya Malaysia, pelajar dan bekas pelajar jurusan seni reka fesyen daripada institusi pengajian tinggi tempatan mengangkat elemen tradisional dalam rekaan busana mereka di pentas pertunjukan fesyen Fashion Flux semalam. 

Pertunjukan yang dianjurkan bersempena dengan Persidangan Perikatan Industri Penjahitan Asia ke-28 itu menjadi platform lebih 10 pelajar mempamerkan bakat dan mempersembahkan karya masing- masing dalam pelbagai tema dan konsep. 

Antara yang meraih perhatian Rafiz Razali, 22, daripada Kolej Vokasional ERT Setapak yang menyerlahkan elemen kemelayuan berunsur tradisional seperti kuda kepang, wayang kulit, tengkolok dan motif sulaman nyonya dalam  rekaannya. 

"Saya ingin membawa unsur warisan yang jarang diketengahkan dan digabungkan dalam fesyen, secara tidak langsung diharap dapat memulihara warisan dengan cara tersendiri, " katanya kepada Bernama. 

Memilih warna pastel dan gelap, Rafiz berkata warna tersebut juga dilihat dapat menyerlahkan sisi feminin dan maskulin pemakai, selain menjadi tanda pengenalan jenamanya yang diasaskan tahun lepas.  


Mengambil masa tiga minggu untuk menyiapkan empat busana tersebut, anak kelahiran Kuala Lumpur itu juga bertekad mahu terus memperjuangkan elemen sama sepanjang berkarya. 

Pereka Hani Nadiah dan Syafiqah Majidah daripada Kolej Vokasional Sepang pula mengadaptasi busana Puteri Perak yang dimodenkan dengan menggabungkan fabrik songket bunga tabur warna biru dengan material skuba. 

"Sebagai pereka muda, kita sepatutnya mengembangkan tradisi bangsa kita. Walaupun ada unsur moden seperti korset, dalam masa sama masih mengekalkan identiti busana. 

"Sesuai dengan adaptasi busana Puteri Perak, kami memilih songket yang sinonim dengan golongan diraja selain mahu memartabatkan warisan," ujar Hani Nadiah mewakili duo itu. 

Selain elemen tradisional, para pereka generasi millenial itu juga tampil dengan idea segar yang memadukan elemen seni dan futuristik, antaranya Shyen Wee, 21, daripada Raffles College of Higher Education yang membawa konsep reka bentuk moden industri. 


KUALA LUMPUR, 3 Ogos -- (dari kiri) Pelajar Kolej Vokasional ERT Setapak Rafiz Razali, Pelajar Kolej Vokasional Sepang Syafiqah Majidah dan Hani Nadiah yang menyertai pertunjukan fesyen pada Malaysia Emerging Designers “Fashion Flux” sempena Majlis Perasmian Kongres Ke-28 Persekutuan Tukang Jahit Asia (FAMT 2024) di Kuala Lumpur malam ini. --fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA

"Saya mendapat inspirasi dari Tamarind Square yang terletak di Cyberjaya, satu tempat yang memberi ketenangan kepada saya secara peribadi, " kata pemuda itu yang menggunakan kain sayat dan kulit.

Xinyong Leon , 24, daripada INTI International University and Colleges pula menjadikan gaya hidup angkasawan pertama dunia Neil Armstrong sebagai inspirasi dan fabrik reflektif sebagai material utama. 

"Saya gemar bereksperimen. Saya suka mengimbangkan gaya futuristik dan unik namun kekalkan ciri klasik dan elegan," katanya. 

Persidangan Perikatan Industri Penjahitan Asia ke-28 yang dianjurkan oleh Persekutuan Persatuan-Persatuan Tukang Jahit Malaysia berlangsung selama enam hari bermula Jumaat. 

-- BERNAMA