Negeri Sembilan Terus Martabat Pemakaian Telepuk

Kredit foto :Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan

Oleh Sarinah Mat Kasim

NILAI, 5 Ogos (Bernama) --  Telepuk, iaitu aksesori kepala tradisional yang dipakai oleh kaum wanita Perpatih di Negeri Sembilan, kini semakin jarang kelihatan melainkan di acara-acara istiadat melibatkan luak dan suku masing-masing.

 Menggunakan kain batik yang diikat di kepala, telepuk kini menjadi aksesori yang hanya dipakai sebagai pelengkap pakaian tradisional rasmi Ibu Soko, iaitu pemimpin masyarakat di bawah sistem Adat Perpatih.

Ibu Soko Luak Gunung Pasir Suku Tanah Datar, Salbiah Sharif berkata pemakaian telepuk oleh Ibu-ibu Soko ini penting bagi memastikan aksesori pakaian tradisional ini terus bertahan di sebalik peredaran zaman.

"Kalau zaman dulu, kaum ibu mengunakan telepuk ini sebaik sahaja keluar dari rumah, sama ada ke kebun, sawah padi atau ke hutan. Tetapi kini susah kita nak jumpa, melainkan kalau ada acara adat istiadat yang melibatkan luak dan suku masing-masing," katanya kepada Bernama di sini.

Salbiah, 57,  berkata sehubungan itu, usaha kerajaan negeri dalam memartabatkan pakaian tradisional Negeri Sembilan penting agar generasi akan datang dapat terus memperkasa pakaian tradisional tersebut, terutamanya bagi mempromosikan sektor pelancongan negeri.


Kredit foto :Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan

“Bersempena dengan Perpatih Fest kali ini, kami daripada Luak Gunung Pasir turut membuka gerai pameran masakan tradisional untuk pengunjung, antaranya kuih koci, iaitu kuih tradisional yang wajib ada di dalam majlis kerakyatan.

“Selain itu, kami juga  pamerkan kelengkapan perkahwinan di Luak Gunung Pasir seperti tepak sirih, bujam (epok), perenjis air mawar, tilam pandak (tempat ijab kabul) dan tikar rompok (alas tempat duduk ketua adat di majlis adat istiadat dan pengantin)," katanya.

Sementara itu, Datuk Lembaga Suku Anak Aceh, Luak Gunung Pasir Seri Menanti Datuk Andika Sazali Mohd Salleh berkata pihaknya mengalu-alukan usaha semua pihak dalam membantu menghidupkan semula pemakaian telepuk.

“Dulu, pemakaian telepuk oleh kaum wanita ini bukan sahaja sebagai aksesori kepala, tetapi juga untuk melindungi diri semasa ke hutan. Selain itu, telepuk turut dijadikan bekas mengisi makanan seperti buah-buahan dan ulam-ulaman yang dipetik di kebun.

“Sekarang, telepuk hanya digunakan semasa upacara adat atau program yang melibatkan Adat Perpatih,” jelasnya.


Kredit foto :Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital negeri Datuk Mohd Faizal Ramli berkata antara inisiatif bagi memartabatkan budaya dan adat negeri ini di peringkat akar umbi ialah pewujudan kelab berkaitan Adat Perpatih di 18 buah sekolah.

“Menerusi kelab tersebut, generasi muda di negeri ini didedahkan kepada pakaian tradisional secara menyeluruh, jadi warisan budaya dan adat di negeri ini diperkasakan di setiap peringkat umur termasuk di sekolah rendah dan menengah,” katanya.

Antara sekolah menengah terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panchor, Seremban, SMK Shahardin, SMK Undang Jelebu, SMK Undang Abdul Manap, Johol, SMK Dato’ Abdul Samad Tanjong Ipoh, SMK Tunku Syed Idrus Tampin dan Sekolah Menengah Agama Repah, Tampin.

Sekolah rendah pula ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pantai, SK Permatang Pasir, SK Kuala Klawang, SK Seberang Batu Hampar, SK Ulu Bendul Tanjung Ipoh dan SK Yamtuan Antah Gunung Pasir.

Bersempena dengan perasmian Perpatih Fest 2024 di Dataran Nilai di sini,  seramai 1,002 wanita Negeri Sembilan tercatat di dalam Malaysia Book of Records menerusi Pemakaian Telepuk Paling Ramai.

-- BERNAMA