353 Selebriti Dan Pempengaruh Sertai KL Suit Walk

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Kuala Lumpur International Suit Walk (KL Suit Walk) kembali mencipta kejutan istimewa hari ini sejak diperkenal pada 2018 sekali gus menjadikan ia sebagai antara acara paling unik dan popular di ibu negara Malaysia.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan berkata ia berjaya menarik 353 selebriti dan pempengaruh untuk menyertai acara berjalan kaki itu, yang bermula dari Hotel Grand Hyatt dan berakhir di pusat beli-belah Pavilion di sini, meliputi jarak 800 meter.

Para peserta memakai dan menggayakan pakaian formal daripada koleksi peribadi masing-masing.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada jawatankuasa penganjur kerana berjaya menghimpunkan begitu ramai tukang jahit mahir pada Kongres ke-28 Persekutuan Tukang Jahit Asia (FAMT) 2024,” katanya ketika acara melepaskan peserta hari ini.

KL Suit Walk telah melakar sejarah dengan menempa nama dalam Malaysia Book of Records dan sijil pengiktirafan disampaikan oleh wakil Malaysia Book of Records kepada Presiden Persekutuan Tukang Jahit Malaysia Sam Ng Teck Yau.

Khairul Firdaus juga berkata acara itu boleh diperluas ke bandar raya utama di seluruh Malaysia dan menzahirkan hasrat untuk melihat lebih banyak tekstil tempatan ditampil menerusi KL Suit Walk.

“Ia tidak seharusnya berlangsung di KL sahaja. Insya-Allah, kita juga boleh menganjurkannya di Johor serta Selangor dan saya yakin dengan perancangan yang baik, rakan strategik yang cemerlang selain tekad serta keazaman, perkara ini boleh direalisasikan,” katanya.

Dianjurkan buat kali kedua di Malaysia, KL Suit Walk menampilkan peserta dari 13 negara termasuk Hong Kong, India, Indonesia, Taiwan dan Thailand yang memakai sut pelbagai warna serta gaya.

Acara itu diadakan sempena penganjuran FAMT ke-28 oleh Persekutuan Tukang Jahit Malaysia yang berlangsung selama enam hari, bermula pada Jumaat lepas.

Khairul Firdaus turut menzahirkan rasa teruja dengan penganjuran Kongres FAMT 2024 yang bakal menampilkan ‘Fashion Mosaic’ dan mengetengahkan pakaian kebangsaan iaitu kebaya yang telah dicalonkan untuk disenarai dalam Warisan Tidak Ketara UNESCO.

“Batik dan songket kita, sama seperti sut yang direka khas, sentiasa anggun iaitu kaya dari segi budaya dan sejarah serta merupakan karya seni generasi dalam pembikinan.

“Ketika kita bersiap sedia untuk Tahun Melawat Malaysia 2026, saya amat gembira apabila mengetahui bahawa kekayaan dan keindahan warisan Malaysia sentiasa diberikan keutamaan. Ia pastinya akan memainkan peranan penting dalam menarik pengunjung dari semua lapisan masyarakat ke Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA