Demi Kelancaran Walimatulurus, Khidmat "pembantu Pengantin" Semakin Ditagih

Kredit: Nur Annisaa Rosli

Oleh Atira Khalisha Nor Adnan

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Bermula dengan hanya menjadi pengapit pengantin atau bridesmaid untuk kenalan terdekat bagi memastikan kelancaran majlis, wanita ini tidak menyangka pengalaman itu membuka ruang untuknya membina kerjaya sampingan.

Nur Annisaa Rosli yang bekerja dalam sektor kewangan, berkata dia mula menerima permintaan daripada pengikut media sosialnya untuk memainkan peranan sebagai pengapit pengantin di majlis perkahwinan mereka sejak Mac lalu, setelah mereka menonton perkongsiannya di platform itu.

“Tugas sebagai pengapit atau pembantu pengantin ini memerlukan ketelitian serta kesabaran yang tinggi dan selalunya diberikan kepada kenalan rapat. Namun tidak semua orang ada kenalan yang benar-benar rela berkorban dan beri komitmen untuk pengantin.

"Saya pernah jadi pembantu pengantin untuk saudara dan kawan kira-kira 10 kali sebelum saya tawar perkhidmatan ini untuk orang luar. Baru-baru ini kawan saya nampak ada orang tawar servis ini di TikTok, jadi apa salahnya jika saya cuba tawarkan perkhidmatan saya kepada orang yang memerlukan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurut wanita berusia 27 tahun ini, pengalamannya mengendalikan majlis keramaian sejak di bangku sekolah turut membantunya dalam memberikan perkhidmatan terbaik, termasuk memastikan pengantin sentiasa dalam keadaan ceria, dan paling utama, kekal tenang jika berlaku insiden tidak diingini. 


Kredit: Nur Annisaa Rosli

Bermula pada harga RM350, Nur Annisaa berkata perkhidmatannya yang mengutamakan kawasan di Semenanjung, mendapat sambutan menggalakkan dengan tempahan diterima hingga tahun depan.

“Sejak bermula empat bulan lepas, saya sudah menerima 20 pelanggan. Mereka tempah dua ke tiga bulan sebelum tarikh majlis berlangsung. Ada juga setahun (sebelum tarikh perkahwinan), terutama melibatkan tarikh-tarikh istimewa seperti 20 Mei 2025,” katanya.

“Servis ini sesuai bagi pengantin berumur 30-an sebab mungkin rakan-rakannya sendiri sudah berkahwin dan tidak dapat beri komitmen, jadi saya rasa lebih mudah untuk upah orang uruskan majlis mereka,” tambahnya. 

Ditanya tentang perancangan masa depan, wanita ini berkata dia berhasrat bekerjasama dengan perunding perkahwinan yang mengendalikan pakej raja sehari bagi memastikan bakal pengantin menerima perkhidmatan terbaik dalam semua aspek.

Sementara itu, Najatul Nisa’Mohamed, 26, berkata khidmat sebagai pembantu pengantin yang ditawarkannya turut mendapat perhatian daripada bakal pengantin di negara jiran. 


Kredit: Najatul Nisa’ Mohamed

Dia yang bekerja sebagai Penolong Pengurus Audit Operasi di sebuah syarikat swasta, berkata ada dua pakej yang ditawarkannya, iaitu pakej sehari 'Dream Day’ berharga RM350 dan pakej dua hari ‘Éternal Love’ yang berharga RM400.

“Seorang warga Singapura tertarik dengan pakej yang saya tawarkan dan dia buat tempahan awal walaupun majlisnya akan diadakan awal tahun depan,” katanya. 

Mesra disapa Najat, wanita ini berkata bagi membina keserasian atau bonding, dia akan berjumpa dengan bakal pengantin sekurang-kurangnya sebulan sebelum tarikh majlis bagi membincangkan hal berkaitan. 

“Kalau pengantin itu tinggal jauh, saya akan berhubung menerusi panggilan video atau telefon bagi bertanyakan kehendak serta keperluan bakal pengantin,” katanya yang tinggal di Kedah.

Bagi Pembantu Tadbir Nur Aqilah Rasil, 26, yang menggunakan khidmat pembantu pengantin pada majlis perkahwinannya Jun lepas, kewujudan perkhidmatan itu amat membantunya. 

“Guna perkhidmatan pembantu pengantin ini sememangnya memudahkan sebab mereka beri perhatian pada perjalanan majlis selain membantu meringankan tugas ahli keluarga yang turut sibuk menguruskan hal lain,” kongsinya.

Secara tidak langsung, kewujudan pembantu pengantin memberi peluang kepada ahli keluarga dan rakan-rakan meraikan hari bahagianya dengan lebih tenang, tambahnya.

-- BERNAMA