Nancy Semat Jiwa 'huminodun' Dalam Busana Kontemporari
Oleh Nurhafizah Tan
KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Kisah legenda pengorbanan Huminodun yang menjadi kebanggaan kaum Kadazan Dusun di Sabah memberi ilham kepada pereka fesyen dari Negeri di Bawah Bayu ini untuk menghasilkan busana kontemporari.
Menggabungkan elemen baju tradisional etnik Sabah dengan beberapa sentuhan moden, pereka Nancy Jullok tampil memartabatkan kekuatan, sifat berdikari dan keanggunan seorang wanita dalam enam karya yang dipersembahkan pada Pertunjukan Fesyen Antarabangsa, Fashion Mosaic: A Tapestry of Global Styles, baru-baru ini.
" Cerita legenda ini berkenaan Huminodun, wanita yang mengorbankan dirinya sebagai balasan untuk hasil tanaman yang lumayan bagi menyelamatkan kaumnya daripada bencana kebuluran.
" Bagi menghasilkan koleksi ini, saya banyak membuat kajian juga mengenai legenda ini selain perlu menjiwai karektor dan pengorbanan Huminodun itu sendiri " katanya kepada Bernama.
Menampilkan empat busana wanita dan dua busana untuk lelaki, anak kelahiran Penampang ini mempersembahkan ‘dress’ (pakaian) labuh dan pendek, antaranya, dengan potongan halter neck dan jaket seakan baju tradisional Borneo.
Menurut pereka yang mengasaskan jenama P'LO Borneo Fashion Design itu lagi, warna hitam dan emas dipilih sebagai tema bagi menaikkan seri elegan selain mengekalkan keaslian rona busana tradisional itu.
Nancy yang berpengalaman lebih 10 tahun itu berkata, teknik jahitan yang menggabungkan fabrik berbeza dalam satu busana bagi mencipta keunikan menjadi antara cabaran dalam menyiapkan koleksi tersebut.
Jika busana tradisional asli lebih sinonim dengan kain baldu, Nancy menjadikan rekannya lebih istimewa dengan menggabungkan kain, antaranya duchess, dastar, net keras dan organdi.
Bagi menyerlahkan lagi identiti Borneo, dia juga turut menyatukan busana dengan motif dan elemen tradisional termasuk padanan dengan aksesori seperti rantai manik dan perhiasan kepala Tupi Sinulatan.
"Saya tetap akan memartabatkan identiti Borneo dalam setiap karya. Saya mahu mengangkat fesyen Borneo ini agar bertaraf antarabangsa dan mahu dunia mengenali keunikan budaya dan bangsa di Malaysia," katanya.
Legenda Huminodun antara lain mengisahkan anak gadis Dewa Kinoingan dan Suminundu bernama Huminodun yang menurut legenda Kadazan Dusun mengorbankan dirinya demi rakyat.
Kisah Huminodun melambangkan ketaatan, kerelaan dan pengorbanan demi kesejahteraan orang lain dan legenda itu kini menjadi asas kepada pertandingan Unduk Ngadau atau ratu cantik pada setiap sambutan Pesta Kaamatan, yang dahulunya dikenali sebagai pertandingan ratu pesta menuai masyarakat Kadazan Dusun di Sabah.
-- BERNAMA