Petz A Mania Sebar Maklumat Bantu Pemilik Haiwan Kesayangan

Oleh Fadzlina Abu Bakar Sidek

IPOH, 7 Ogos (Bernama) -- Memelihara haiwan terutama yang dibela di rumah memerlukan persekitaran yang boleh memberi keselesaan kepada hidupan kesayangan dan penghuni kediaman itu.

Panduan tersebut adalah antara matlamat penganjuran festival haiwan peliharaan terbesar, Petz A Mania yang diadakan di Ipoh pada 3 dan 4 Ogos lalu, di Perak Turf Club di sini.

Penganjur Petz A Mania Jeffrey Parama berkata, festival yang dianjurkan sejak tahun 2022 itu turut bertujuan mendidik masyarakat menyayangi dan tidak melakukan penderaan fizikal ke atas haiwan atau membuang haiwan peliharaan di merata-rata tempat.

"Saya anjurkan satu program yang membolehkan orang ramai memperoleh ilmu mengenai haiwan peliharaan seperti kucing, arnab dan anjing supaya masyarakat mempunyai kesedaran serta tanggungjawab apabila memelihara haiwan," katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Katanya, pemilik haiwan juga perlu menyediakan  kelengkapan dan keperluan asas seperti air minuman, makanan dan kelengkapan asas lain bagi menjaga kebajikan binatang peliharaan selain pemberian ubat dan suntikan vaksinasi.


Pelbagai makanan, produk kesihatan serta aksesori haiwan turut dijual di festival berkenaan, selain khidmat nasihat mengenai penjagaan haiwan.

Menurut Jeffrey, pihaknya juga mengundang individu yang memelihara pelbagai jenis haiwan dan aktivis haiwan bagi berkongsi ilmu dengan pengunjung mengenai haiwan peliharaan mereka.

Festival Petz A Mania yang diadakan selama dua hari itu dilaporkan dikunjungi kira-kira 5,000 orang dan menampilkan beberapa persembahan haiwan iaitu burung kakaktua dan kucing, persembahan beberapa ekor anjing terlatih Unit Anjing Pengesan Polis (K9) serta pertandingan pakaian tercantik haiwan peliharaan.

Sementara itu, pemilik burung kakaktua Mohd Ghazali Mohd Shafii, 38, dari Ipoh yang menjadikan hobi memelihara burung kakaktua sejak beberapa tahun lalu berkata, dia sanggup berhabis ribuan ringgit untuk memiliki 15 ekor pelbagai jenis burung kakaktua yang berdaftar dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Katanya, burung kakaktua yang cerdik, jinak dan mampu meniru sesuatu perkataan yang diajar selain memiliki bulu yang unik dan berwarna-warni merupakan antara sebab dia gemar memeliharanya burung berkenaan.


"Keistimewaan burung kakaktua boleh mengajuk percakapan yang dituturkan oleh manusia walaupun kedengaran sebutannya tidaklah berapa tepat namun ia menghiburkan sesiapa yang mendengarnya selain mempunyai jangka hayat antara 80 hingga 100 tahun jika dipelihara dengan baik.

"Burung kakaktua mampu mengenali siapa tuannya. Burung kakaktua dilatih 'free fly' sebelum dilepaskan terbang bebas di luar dan burung tersebut boleh bertenggek semula di atas bahu atau tangan apabila kita memanggil nama timangannya atau menggunakan wisel," katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Mohd Ghazali yang merupakan Timbalan Presiden Persatuan Burung Kakaktua Perak memiliki burung kakaktua pelbagai jenis, antaranya, Congo Africa, Blue-and-Gold Macaw, Sun Corner, Cockatiel serta Lovebird.

Berlainan pula dengan Nora Shaw, 59, dari Kuala Kangsar, ahli sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pusat perlindungan haiwan yang bertindak menyelamatkan kucing jalanan yang sakit dan terbiar.

Haiwan itu akan dijaga sebelum diberikan kepada keluarga angkat yang sudi memelihara si bulus itu.

"Kami bawa kucing-kucing jalanan yang ditemui ke klinik veterinar untuk diberikan rawatan dan vaksin serta menjalani proses pemandulan bagi mengurangkan lambakan haiwan berkenaan.

"Kami memperoleh sumber peruntukan daripada orang ramai bagi menampung kos makanan dan vaksin bagi kucing-kucing tersebut," katanya yang pada masa ini memelihara lebih 20 ekor kucing jalanan.

-- BERNAMA