Dayana Ahmad Juara K2k Idol Grand Finale Musim Kedua
KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Dayana Ahmad, suri rumah daripada Program Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Hicom, Shah Alam, Selangor muncul juara pertandingan nyanyian Kita-Untuk-Kita Idol (K2K Idol) Grand Finale musim kedua, menewaskan sembilan peserta lain.
Menerusi kemenangan itu, Dayana, 37, yang mendendangkan lagu Madah Berhelah nyanyian asal Ziana Zain, membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 berserta trofi.
Di sebalik kegembiraannya, ibu kepada tiga cahaya mata ini berasa terkilan kerana mentornya, Allahyarham Jay Jay tidak berpeluang meraikan kejayaan itu.
“Saya sedih sangat sebab Allahyarham Jay Jay tidak ada di sini hari ini untuk berkongsi kemenangan. Saya masih ingat semasa saya sertai K2K Idol tahun lepas di peringkat PPR Kampung Baru Hicom, saya tengah sarat mengandung, tapi tidak lekang di bibir Allahyarham yang saya ada potensi untuk menyanyi walaupun keadaan saya agak sukar ketika itu,” katanya kepada pemberita selepas pertandingan itu, di sini semalam.
Justeru, Dayana yang menetap di PPR itu sejak berusia 15 tahun, berharap kemenangannya dapat menjadi penyuntik semangat buat ahli komuniti lain untuk lebih berkeyakinan dalam menunjukkan bakat terpendam.
Sementara itu, Hairil Azri Abu Bakar, 46, daripada Perumahan Awam (PA) Seri Kota dinobatkan sebagai naib juara dan membawa pulang RM5,000 manakala Hakim Nazmie Shamsudin, 23, daripada PPR Lembah Subang 1, di tempat ketiga dan menerima hadiah wang tunai RM3,000.
Pertandingan K2K Idol Grand Finale merupakan acara kemuncak pertandingan bakat K2K Idol yang bertujuan memupuk dan mengetengahkan bakat seni ahli komuniti PPR dan PA dengan matlamat membina keyakinan diri selain mengukuhkan ikatan perpaduan dalam komuniti terbabit.
Program dianjurkan oleh Think City dengan kerjasama Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) di bawah Program K2K.
Pertandingan kali ini diadili oleh barisan penyanyi legenda tanah air, iaitu vokalis kumpulan Blues Gang Datuk Ito Mohd, Noorshila Amin, Zur Eda, Lan Solo, Andy Flop Poppy yang turut bertindak sebagai mentor, dan juri jemputan Datuk Yusni Hamid.
Menurut Pengarah Program K2K Dr Shahridan Faiez, acara seperti itu dapat mengikis stigma negatif terhadap penduduk PPR yang sering dikaitkan dengan isu sosial.
“Melalui program ini kita nak tukar stigma tidak elok selain menunjukkan kepada masyarakat umum yang komuniti ini juga ada impian untuk dikejar. Tujuan di sebaliknya ialah kita nak masyarakat menerima (komuniti) perumahan awam kita,” katanya.
Presiden Karyawan Datuk Freddie Fernandez berkata tidak mudah untuk mencungkil bakat terpendam komuniti itu kerana mereka kurang berkeyakinan dengan kebolehan yang ada pada diri.
“Mereka malu, jadi kita gunakan pendekatan lain sewaktu buat uji bakat, iaitu melalui rakaman video telefon sahaja. Selain itu, mentor juga banyak luangkan masa di PPR, iaitu selama dua minggu untuk mencari mereka yang berbakat,” katanya.
Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Azman Abidin yang turut hadir menyaksikan pertandingan itu, berkata program tersebut yang mendapat sokongan Kementerian Kewangan, diharap dapat membendung masalah sosial, ekonomi dan fizikal yang membelenggu penduduk PPR.
“Boleh dikatakan majoriti mereka yang duduk di PPR ini merupakan golongan B40 dan ada yang tinggal di ruangan sempit, jadi kadang-kadang kalau tiada aktiviti bermanfaat, mereka akan lepak di kawasan kurang bermanfaat. Jadi, ini adalah tugas Think City untuk buat kajian sosial apa sebenarnya aktiviti yang mereka suka.
“Secara tidak langsung K2K Idol ini dapat memberi kegembiraan kepada penduduk selain sebagai tanda keprihatinan kerajaan bahawa mereka tidak diketepikan,” katanya.
-- BERNAMA