Bukit Dinding Ubah Kehidupan Kazumi
Oleh Mohd Afiq Zulkifli
KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Mungkin ramai tidak tahu, khususnya mereka yang pernah beriadah di Bukit Dinding, Wangsa Maju di sini, bahawa Kazumi Trail yang turut dikenali sebagai "trek penyesalan” oleh penggiat aktiviti itu, dibina oleh seorang wanita tempatan yang menghidap kanser.
Umumnya, hanya penggiat tegar sahaja yang sanggup mendaki denai itu kerana laluan yang begitu mencabar - licin dan menuntut kekuatan tangan untuk berpaut pada tali ketika mendaki - hinggakan ada yang berpatah balik separuh jalan kerana tidak mampu meneruskan pendakian.
Akan tetapi, kesukaran meredah denai itu sebenarnya melambangkan perjuangan Ong Siew Choo, 47, dalam melawan barah kelenjar (limfoma) tahap dua, kira-kira lapan tahun lalu, hinggalah beliau diisytiharkan bebas daripada penyakit yang boleh mendatangkan maut tersebut pada Disember 2021.
Mesra dipanggil Kazumi, ibu kepada dua anak ini didiagnosis menghidap kanser limfoma pada Mac 2013 apabila beliau berjumpa doktor berhubung ketulan kecil di bahagian atas dadanya.
“Saya menjalani kemoterapi sebanyak enam kali dan radioterapi 25 kali selain mengambil ubat secara konsisten,” katanya kepada Bernama.
Mengakui hampir kehilangan semangat untuk hidup, wanita itu bagaimanapun bertekad untuk tidak berputus asa dan berusaha memulihkan dirinya dengan mendekati alam semula jadi menerusi aktiviti fizikal yang jarang dilakukannya, iaitu mendaki hutan Bukit Dinding.
Terletak hanya beberapa minit dari kediamannya di Seksyen 5, Wangsa Maju, Ong memulakan kegiatan itu sebaik sahaja kerajaan membenarkan orang ramai keluar beriadah dan bersukan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
“Saya cuba masuk hutan Bukit Dinding melalui denai berdekatan Pangsapuri Waizuri 1 di Seksyen 5 (Wangsa Maju). Ketika itu tidak ada denai di hutan tersebut dan saya bawa cangkul, pisau, tali serta gergaji untuk membina laluan.
“Masa itu, saya masuk hutan seawal tujuh pagi seorang diri untuk buat denai. Perlahan-lahan saya tebas mana-mana pokok kecil dan bersihkan untuk dijadikan denai. Ada tempat saya pasang tali kerana cerun tinggi dan lama-kelamaan wujud denai yang sempurna serta boleh dilalui dengan selamat sejauh kira-kira satu kilometer (km),” kongsinya.
Menurut Ong, beliau mengambil masa tiga bulan untuk menyiapkan denai tersebut yang dilakukannya secara perlahan-lahan, mengikut kemampuan diri.
“Saya tidak seksa diri, ada masa saya akan duduk berehat sambil mendengar kicauan unggas, bunyi anak air terjun dan memerhati kelakuan monyet. Semua ini membuatkan fikiran saya tenang,” ujarnya.
Ong percaya keputusannya menggemblengkan rawatan doktor dengan aktiviti fizikal serta kembali kepada alam semula jadi merupakan faktor yang membebaskan beliau daripada cengkaman kanser dan tidak perlu lagi mengambil ubat pada penghujung 2021.
“Saya bersyukur pulih sepenuhnya, mungkin kerana selalu masuk hutan Bukit Dinding… kegiatan itu turut menjadi penawar kepada penyakit yang saya tanggung. Saya banyak terhutang budi pada alam, dan sekarang lebih fokus untuk membantu lebih ramai pendaki mendekati hutan Bukit Dinding secara percuma,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Friends of Bukit Dinding Adrihazim Rashid berkata pihaknya menyokong penuh usaha Ong dan turut membantu dengan menambah baik denai berkenaan termasuk menyediakan papan tanda.
“Sebelum ini ada satu lagi denai lain khusus untuk pendaki dan pelari yang boleh sampai ke puncak Bukit Dinding. Jadi, denai yang Ong buat ini kita sambung, menjadikan keseluruhan jarak denai sejauh enam kilometer, “ katanya, menambah kewujudan denai yang selamat itu turut meningkatkan bilangan pengunjung yang mencecah 200 orang pada hujung minggu.
-- BERNAMA