Bukit Dinding Berpotensi Bagi Penganjuran Sukan Lasak Bertaraf Antarabangsa
Oleh Mohd Afiq Zulkifli
KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Keindahan alam semula jadi hutan Bukit Dinding yang dianggap sebagai kawasan hijau terakhir di Wangsa Maju di sini, mendorong bukan sahaja warga kota untuk datang beriadah bersama-sama keluarga pada hujung minggu, tetapi juga peminat sukan basikal lasak.
Bukit yang merupakan sebahagian daripada ladang getah Hawthornden Estate (nama asal Wangsa Maju) ini “menyediakan” bentuk muka bumi yang sesuai untuk kegiatan basikal bukit atau mountain biking (MTB) dengan denai, cerun, tanah landai dan berbukit silih berganti.
Maka tidak menghairankan jika ada acara sukan lasak tahunan khusus diadakan di kawasan itu seperti Bukit Dinding Downhill Race (BDDH) untuk sukan MTB dan juga larian dalam hutan Bukit Dinding Challenge (BDC).
Dianjurkan oleh Kelab Basikal Scarfox sejak 2018, Presidennya Muhammad Hishammuddin Abd Halim berkata BDDH yang memasuki edisi keenam tahun ini, sentiasa menerima sambutan menggalakkan daripada peminat sukan ekstrem tempatan dan luar negara.
“Tahun ini saja seramai 260 peserta dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Brunei, Amerika Syarikat dan United Kingdom menyertainya… iaitu jumlah maksimum peserta yang dibenarkan dan lazimnya slot pendaftaran akan penuh terisi kurang 24 jam selepas dibuka,” katanya kepada Bernama.
Katanya, antara faktor yang menyumbang kepada sambutan hebat BDDH ialah bentuk muka bumi Bukit Dinding yang menawarkan cabaran tersendiri kepada peserta.
“Kecuraman tebing serta denai berbatu dipenuhi akar-akar pokok menuntut kemahiran penunggang basikal MTB dan memberikan lonjakan adrenalin yang menjanjikan kepuasan kepada penunggang.
“Di Bukit Dinding, ada empat denai termasuk jenis downhill (cerun menurun) yang jaraknya 1.9 kilometer (km) tetapi keistimewaannya adalah pada fast trail dengan kelajuan boleh cecah 60 km sejam (km/j) selain turut sesuai digunakan semasa hujan bagi mereka yang ingin merasai cabaran pada cuaca berbeza,” katanya.
Selain itu, trek bertarmak sejauh 2.5 km menuju puncak, dan Bukit Dinding merupakan satu-satunya lokasi yang ada trek khusus bagi basikal bukit di ibu negara yang dibuka kira-kira 10 tahun lalu selepas mendapat kebenaran pemilik tanah selain menerima sokongan Persatuan Berbasikal Kuala Lumpur.
Seorang penunggang basikal dari Singapura, Muhd Danial Abdul Razak memberitahu Bernama bahawa dia menjadikan Bukit Dinding sebagai antara lokasi sukan basikal bukit setiap kali datang ke Lembah Klang, selain Putrajaya Challenge Park dan Denai Peladang Sungai Buloh.
“Biasanya, kami dalam kumpulan yang ramai dan pernah mencecah hingga 80 penunggang basikal datang ke sini dengan bas. Di Singapura tiada trek basikal bukit yang bercirikan downhill, jadi kami banyak ke luar negara dan antara pilihan paling dekat ialah Bukit Dinding untuk memuaskan minat kami,” kata lelaki berusia 42 tahun ini.
Sepertimana aktiviti lasak sukan basikal bukit, penganjur larian BDC Mohd Farrish Khalid pula berkata kebanyakan komuniti pelari denai di ibu kota tidak mempunyai tempat latihan yang sesuai kerana larian itu memerlukan kawasan dengan ciri-ciri hutan, tanah landai dan bukit.
“Apabila kami mendapati keadaan Bukit Dinding selamat, kebolehsampaian dan tidak memerlukan permit, maka kami mula berlatih di situ bermula 2018. Lama-kelamaan, Bukit Dinding makin dikenali dan mendapat tempat dalam kalangan pelari hinggalah tercetus penganjuran BDC.
“Bentuk muka bumi Bukit Dinding menjadi pilihan kepada pelari sebagai ‘ground training’ kerana ketinggian dan denai hibrid yang sesuai untuk meningkatkan stamina, core training sebelum menyertai mana-mana acara larian jarak jauh lain,” katanya, menambah jarak larian pernah direkodkan seorang pelari di Bukit Dinding ialah sejauh 84 km secara loop selama 12 jam.
-- BERNAMA