Anne Ngasri Jadi Cikgu TVET Dalam Drama Iqbal
Oleh Hasnah Jusid
KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Walaupun aktif dalam dunia politik, pelakon dan penerbit Datin Anne Ngasri tidak pernah melupakan dunia seni yang baginya sangat dekat di hati dan bakal tampil dalam drama bersiri baharu bertajuk Iqbal.
Ditemui Bernama ketika menghadiri Perhimpunan Agung UMNO di sini, Anne, 40, atau nama sebenarnya Naszriah Ngasri, berkata beliau melakonkan watak sebagai guru Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam drama 30 episod yang bakal ditayangkan di RTM tidak lama lagi.
Mengulas lanjut tentang drama itu, Anne yang juga Timbalan Pengerusi GiatMARA, berkata drama Iqbal berkisar tentang seorang pelajar lelaki maahad tahfiz yang berminat mendalami bidang TVET fesyen di GiatMARA.
“GiatMARA dekat di hati saya sebab itulah saya melakonkan watak (guru) tersebut dan (pelajar) maahad tahfiz pula kita bawa bersama GiatMARA untuk menjalani kursus TVET agar mendapat kemahiran baharu.
“Memandangkan saya duduk dalam GiatMARA, secara tidak langsung kita mempromosikan usaha kerajaan dengan (memaparkan) kisah benar yang berlaku dalam GiatMARA. Kita pun memang cari banyak maahad tahfiz untuk bekerjasama dengan GiatMARA,” katanya.
Isteri kepada Setiausaha Kerja UMNO Datuk Mohd Sumali Reduan itu berkata beliau tidak menyangka walaupun sudah kurang tampil di kaca televisyen, kehadirannya masih diingati oleh peminat seni tanah air.
Malah, perkongsiannya di Instagram baru-baru ini selepas berjaya menamatkan pengajian Diploma Business in Management di Kuala Lumpur Business & TVET Institute (KLTVET) turut tular di platform tersebut.
“Saya tak sangka ramai orang masih doakan saya… inilah kita orang Melayu dan Islam, yang punya simbolik rasa cinta dan sayang sesama kita,” katanya.
Ditanya bagaimana beliau membahagikan masa antara kerjaya politik, ibu dan dunia seni, Anne berkata beliau percaya pada kehebatan luar biasa wanita dalam menguruskan masa dan sentiasa yakin semuanya akan dipermudahkan atas izin Allah SWT.
“Jadual agak padat tapi saya yakin Alllah SWT beri tangggungjawab kepada saya kerana saya mampu melakukannya. Apapun saya mohon doakan saya baik-baik, mudahkan perjuangan saya, ingatkan diri saya supaya saya tidak lari dari niat baik saya untuk berkhidmat kepada negara juga.
“(Oleh) sebab itu saya memilih tidak berlakon terlalu banyak, kerana saya ada tanggungjawab (lain), lebih-lebih lagi saya dilantik sebagai Timbalan Pengerusi GiatMARA tahun lepas, jadi ini amanah dan tangggungjawab yang perlu saya lakukan demi anak bangsa kita,” katanya.
Anne memiliki tiga anak hasil perkahwinan pertamanya dengan Abdul Wafi Hassan sebelum bercerai pada 2010. Beliau kemudian bertemu jodoh buat kali kedua dengan Mohd Sumali yang dimeterai dengan pernikahan pada 22 Dis 2012.
-- BERNAMA