Rindu Suasana Kerja Di Konti, Linda Onn Aktif Di Tiktok

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Bagi melepaskan rindu pada suasana kerja di konti, bekas penyampai radio Linda Onn kini aktif mendekati peminat dengan bersiaran langsung menerusi platform TikTok sejak awal tahun ini.

Berpengalaman lebih dua dekad dalam bidang penyiaran radio,  Linda Onn atau nama sebenarnya Rozlindah Onn, 47, berkata aplikasi media sosial itu membolehkannya berinteraksi secara dua hala dengan peminat.

“Pendekatan ini sangat membantu saya untuk melepaskan rindu dengan suasana kerja di konti. Saya akui impak dan kepuasannya tidak sama dengan konti radio sebenar, tetapi, dengan setakat yang saya mampu buat, itu sudah memadai.

“Apabila dapat buat live, ada pula peminat yang dengar, itu sudahpun memberi kepuasan … kerana buat masa ini, saya hanya bersiaran di sini (Tik Tok), tiada lagi di mana-mana radio,” katanya kepada pemberita selepas hadir majlis Sambutan Hari Kemerdekaan dan Sanjungan Budi Lambaian Kasih, Lady Bikers, baru-baru ini.

Bagaimanapun Linda tidak menolak untuk kembali berkhidmat di stesen radio jika ada rezeki pada masa depan.


“(Tawaran) Kalau okey, kenapa tidak? Sekarang ini ada penyampai radio yang mendapat bayaran RM100,00. Dulu mana dapat. Jadi teringin jugalah kalau ada bayaran seperti itu. Memang saya 'on' (terima)," katanya berseloroh.

Dalam pada itu, Linda yang pernah berkhidmat di beberapa stesen radio popular seperti Era, Sinar, Suria dan Kool FM, berkata trend penyampai radio beralih dari satu stesen radio ke stesen radio lain kerana tawaran lebih tinggi merupakan perkara biasa dan berlaku sejak dulu. 

“Penyampai radio ini umpama pemain bola sepak yang selalu keluar masuk pasukan dan keadaan ini sesuatu yang normal. Waktu saya berkhidmat di sebuah stesen radio pun, saya juga berdepan situasi sama.

"Ada stesen radio lain cuba 'tarik' saya bekerja dengan mereka termasuklah dari Singapura. Budaya seperti ini memang normal untuk penyampai radio kerana waktu itu mereka tengah berharga dan popular,” katanya.

Menurutnya, adalah wajar sekiranya penyampai radio ditawarkan dengan bayaran yang mahal selepas mengambil kira kemampuannya dalam menarik pendengar sehingga mampu menaikkan penarafan stesen radio tersebut.

“Trend hari ini menyaksikan penyanyi, pelakon dan pelawak juga boleh menjadi penyampai radio. Jika mereka boleh menarik perhatian orang untuk mendengar radio dan naikkan rating, apa salahnya. Tidak timbul isu integriti atau mereka bukan orang radio sebenar, kerana seiring peredaran masa lama-kelamaan mereka juga akan jadi orang radio.

“Sama seperti penyampai radio tiba-tiba jadi pelakon. Dunia hiburan kita ini kecil, jadi jika itu sudah rezeki mereka tiada salahnya dan kita raikan sahaja,” katanya yang kini sibuk menguruskan perniagaan nasi ayam My Mom’s Chicken Rice.

-- BERNAMA