Festival Filem Jepun 2024 Sasar Tarik Lebih Ramai Pengunjung
KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- The Japan Foundation Kuala Lumpur (JFKL) menyasarkan untuk meningkatkan lagi pertukaran budaya antara Jepun dan Malaysia menerusi penganjuran Festival Filem Jepun (JFF) 2024 yang akan mengetengahkan kepelbagaian dan kekayaan industri filem Negara Matahari Terbit itu.
Pengarah JFKL Tsukamoto Norihisa berkata pihaknya berharap dapat menarik lebih ramai pengunjung ke festival itu yang akan bermula dari 12 Sept hingga 20 Okt ini.
“Dalam tempoh 20 tahun lalu, JFF berjaya menarik lebih 200,000 pengunjung, menayangkan 215 buah filem, mengetengahkan karya 127 orang pengarah filem serta mengadakan 11 acara sampingan merentasi 11 venue di lima buah negeri.
“Pada Julai tahun lepas, festival ini menerima kehadiran 9,498 pengunjung, menandakan kebangkitan pasca-COVID-19,” katanya pada sidang media dan previu media JFF 2024, di sini hari ini.
Katanya, festival tahun ini akan dibuka dengan pemenang kategori Kesan Visual Terbaik di Academy Awards 2024, “Godzilla Minus One”, yang turut menandakan ulang tahun ke-70 francais ikonik Jepun - kaiju atau raksasa dalam bahasa Melayu.
“Bersempena dengan sambutan ini, kami akan mengadakan tayangan maraton filem Godzilla, bermula dengan filem klasik asal ‘Godzilla’ arahan Ishiro Honda yang ditayangkan pada 1954, diikuti ‘Godzilla Minus One’ yang ditayangkan di Jepun pada 2023,” katanya.
Menurutnya, tayangan maraton filem Godzilla itu akan diadakan pada 14 dan 21 Sept ini di Lembah Klang dan Pulau Pinang.
Beliau berkata sepanjang festival itu, filem daripada genre berbeza dengan pelbagai tema termasuk keluarga, misteri pembunuhan, fiksyen sains dan anime akan ditayangkan.
Selain itu, turut diadakan bengkel pembikinan filem selama lima hari bagi remaja Malaysia dan Jepun, dibimbing oleh Lim Kah Wai, pengarah filem dari Malaysia yang berpangkalan di Jepun.
Katanya, JFKL berharap dapat melibatkan lebih ramai pengarah filem muda menerusi bengkel dan acara khusus yang diadakan sepanjang festival itu, agar dapat memupuk pemahaman dan minat lebih mendalam terhadap budaya Jepun.
-- BERNAMA