Filem Aksi Pungut Dilakonkan Aktor Mahir Ilmu Silat

Oleh Mohd Afiq Zulkifli

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Kesemua babak pertarungan dalam filem aksi  “Pungut” yang akan mula ditayangkan di pawagam esok dilakonkan sepenuhnya oleh aktor yang mempunyai seni mempertahankan diri, iaitu silat.

Pelakon utama filem itu Ruzaidi Abdul Rahman berkata elemen tersebut menjadi kekuatan dan kelebihan yang ada pada filem Pungut untuk menarik minat penonton berbanding filem aksi lain.

Katanya, pengarah filem yang juga pengarah aksi Areel Abu Bakar dan koreografer Mohd Koharullah juga merupakan pesilat, sekali gus membantu aksi pertarungan dilakonkan dengan lebih teratur, profesional dan bertaraf antarabangsa.

“Walaupun saya sudah berlakon dengan ramai aktor terkenal, kalau tiada asas silat (seni bela diri) dan hanya berlatih pada waktu itu sahaja, hasilnya tidak sama dengan orang (pelakon) yang memang pesilat,” katanya yang ditemui Bernama selepas menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia, terbitan Bernama TV hari ini.

Menurut beliau, pelakon yang mempunyai kemahiran seni mempertahankan diri akan mempamerkan gerakan-gerakan dengan teknik sebenar, membuatkan babak yang dilakonkan seakan benar berlaku.

Selain Ruzaidi, pelakon lain dalam filem itu yang mempunyai kemahiran silat ialah Aliff Yasraff, Fad Anuar dan Megat Sharizal.

Filem Pungut antara lain mengisahkan kehidupan Salleh lakonan Ruzaidi yang tinggal di sebuah perkampungan setinggan berhampiran tapak pelupusan sampah dan menyara diri dengan bekerja sebagai pengutip barang lusuh.

Dia kemudian terperangkap dalam “perang” dengan kumpulan penjenayah diketuai oleh Din Cengkoi lakonan Aman Graseka, yang melihat kawasan setinggan itu berpotensi dijadikan lokasi urus niaga haramnya selepas dikhianati di kawasan lama.

-- BERNAMA