Lima Lokasi Di Sekinchan Yang Wajib Diterokai

Oleh Norhidayyu Zainal

SEKINCHAN, 15 Sept  (Bernama) -- Bagi mereka yang merindui keharmonian suasana desa, makanan laut yang segar serta pemandangan indah namun tidak mahu memandu jauh, Sekinchan di Selangor merupakan destinasi terbaik untuk percutian singkat dan hujung minggu

Terletak kira-kira 80 kilometer di barat laut Kuala Lumpur, Sekinchan menawarkan lima lokasi yang dapat memberikan pengalaman menyenangkan buat pengunjung yang ingin mencari ketenangan dan keindahan semula jadi, atau lari daripada kesibukan kehidupan harian di ibu kota.

 

Galeri Padi 


Hanya dengan membayar  RM5, pengunjung berpeluang mendalami ilmu dan sejarah penanaman padi tempatan di Galeri Padi yang terletak di kilang pemprosesan padi milik PLS Marketing (M) Sdn Bhd.

Lawatan dimulakan dengan tayangan video yang menerangkan proses penanaman padi, bermula dari pemilihan benih sehingga menyemai, cara tanah disediakan dan dibanjiri, serta bagaimana proses pemindahan dan penuaian dilakukan. Selain itu, galeri ini turut mempamerkan pelbagai peralatan yang digunakan pada masa lalu seperti lesung dan alu untuk menumbuk padi menjadi beras serta batu giling yang digunakan untuk mengisar beras menjadi tepung.

Pelancong tempatan yang juga seorang cef terkemuka Zaidah Mohammad Noor berkata lawatan ke galeri itu memberi pengalaman baharu kepadanya.

“Sangat menarik dan tak rugi jika datang ke sini… cucu saya sendiri  pun selalu bertanya macam mana rupa pokok beras (padi), jadi inilah pokok beras (padi),” katanya berseloroh.

 

Kuil Sri Shakti Devasthanam


Terletak di Bukit Rotan, pembinaan  kuil Sri Shakti Devasthanam memakan masa empat tahun untuk disiapkan dan dilaporkan sebagai satu-satunya kuil di dunia yang mempunyai manifestasi kesemua 51 “Shakti” mengikut kepercayaan Hindu. Di dalamnya terdapat 96 batang tiang berukir yang menggambarkan 96 prinsip universal Hinduisme. 

Pintu utamanya menampilkan rangka granit berukir setinggi 18 kaki dengan berat hingga empat tan. Ukiran dilakukan oleh tukang mahir dari Mahabalipuram, Tamilnadu, India. Selain itu, kuil ini juga menampilkan dinding berhias setinggi 13 kaki dan “Rajagopuram” bertingkat lima setinggi 74 kaki. Memiliki seni bina yang kompleks dengan reka bentuk ukiran yang rumit dan ciri-ciri unik lain, kuil ini memperlihatkan perincian yang terbaik dalam seni bina India di Malaysia.

 

Ah Ma House


Dimiliki oleh pasangan suami isteri Ng Joo Leong, 46, dan Kwi Ai Fang, 45, tarikan utama Ah Ma House ialah peluang melihat secara langsung kuih kapit dibakar secara tradisional menggunakan arang. Malah, pengunjung turut diberi kesempatan membeli dan merasa kuih kapit yang rangup ini. 

Tidak hanya itu, rumah ini juga berfungsi sebagai muzium yang memberikan pengunjung pengalaman seolah-olah berada di era 70-an hingga 90-an, lengkap dengan pelbagai barangan klasik seperti dapur tradisional, lampu minyak, kabinet kayu, mesin jahit, mangkuk tingkat dan pelbagai makanan ringan.

Seorang pengunjung Datuk Ismail Nordin berkata konsep yang diketengahkan oleh Ah Ma House sangat kreatif dan menarik serta mampu memberikan nilai tambah kepada usahawan dan ahli perniagaan lain dari segi kreativiti.

"Cara Ah Ma House mengkomersialkan barangan mereka sangat menarik dan inovatif. Mereka tidak hanya mempamerkan barangan lama tetapi juga berjaya memanfaatkan nostalgia dengan cara yang segar dan relevan,” katanya yang juga Pengerusi Koperasi Pengurusan Kewangan Hartanah Berhad.

 

Private Ninja Kitchen


Menawarkan konsep makan di ruang terbuka, Private Ninja Kitchen merupakan lokasi makan terbaik dan menjanjikan pengalaman berbeza buat pengunjungnya. 

Penulis turut teruja apabila berpeluang menikmati sendiri pemandangan yang memukau sambil dihembus angin sepoi-sepoi bahasa. Keindahan sawah padi ditambah dengan sinar matahari terbenam yang memancar lembut, menjadikan suasana itu sungguh mempesonakan dan menenangkan.

Tidak hanya itu, lokasi ini yang turut dihiasi jerami padi pasti meninggalkan kenangan indah untuk penggiat media sosial Instagram. Justeru, tidak menghairankan jika ‘port’ ini kerap menerima tempahan penuh pelancong tempatan dan luar negara, selain mendapat perhatian golongan kenamaan dan selebriti.

Pengunjung tempatan yang juga Presiden The Knight Awards Dr Zyro Wong berkata lokasi berkenaan memberikan pengalaman baharu dan unik sebagai tempat berkumpul dan bersantai bersama-sama rakan atau keluarga.

 

Hai Seng Huat Fishery


Tidak lengkap sekiranya pulang dari Sekinchan tanpa membawa buah tangan, dan jika anda ingin mendapatkan makanan laut segar, Hai Seng Huat Fishery antara tempat yang patut dikunjungi.

Di sini, anda boleh mendapatkan pelbagai jenis makanan laut yang baru didaratkan seperti ikan, udang, dan ketam. Pelanggan juga berpeluang memilih sendiri produk laut yang diinginkan dan harga pula cukup berpatutan.

 


 

-- BERNAMA