Kelas "spinning", "crossfit" Manfaat Atau Mudarat?
Oleh Nurhafizah Tan
KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Aktiviti seperti kelas spinning, CrossFit, dan HIIT (High-Intensity Interval Training) semakin popular, terutama dalam kalangan mereka yang ingin mengekalkan kecergasan dan pada masa sama tampil dengan bentuk tubuh menarik.
Namun, benarkah bersenam secara intensif ini membawa lebih manfaat ?
Perkongsian pempengaruh Sofea Shra baru-baru ini membuka mata masyarakat tentang rabdomiolisis (rhabdomyolysis), iaitu keadaan otot rangka berkecai secara cepat dan boleh menyebabkan komplikasi serius seperti kerosakan buah pinggang, gara-gara bersenam melebihi had kemampuan tubuh.
Wanita ini dimasukkan ke hospital selama lima hari selepas mengalami rabdomiolisis hanya selepas menyertai satu sesi spinning.
Mengulas situasi itu, jurulatih kecergasan Kevin Zahri berkata penting untuk seseorang individu mengenali tahap dan batas kemampuan tubuh masing-masing agar tidak bersenam sehingga memudaratkan diri, terutama apabila melakukan aktiviti berintensiti tinggi.
"Tahap kecergasan setiap orang berbeza. Orang yang pertama kali sertai senaman tahap kecergasan mungkin tak sama dengan rakan atau peserta lain yang dah berbulan sertai. Badan belum lagi mempunyai daya kecergasan yang dapat memenuhi sesi tersebut.
"Jadi, apabila seseorang itu terlalu memaksa diri untuk ikut arahan instructor dan selari dengan peserta lain, akan terjadi muscle breaks down (otot pecah), seterusnya pemecahan otot menghasilkan by-product (seperti protein mioglobin) yang akan membebankan buah pinggang," katanya ketika dihubungi Bernama.
Kevin yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang kecergasan, mencadangkan penggunaan jam tangan pintar untuk memantau dan memaparkan bacaan degupan jantung ketika bersenam bagi membantu seseorang mengawal kelajuan dan rentak pergerakan.
"Kadar degupan jantung maksimum (HRmax) boleh dianggarkan dengan formula: 220 - (tolak) umur anda. Contoh, jika umur anda 30 tahun, HRmax = 220 - 30 = 190 bpm, dan kena pastikan bpm tidak lebih 80 peratus daripada jumlah ini, iaitu 152 bpm. Jika lebih you have to slow down no matter what the instructor says.
"Jika tanpa smart watch, indikator dan perumpamaannya adalah kita masih boleh berbual, (ada) rasa beban senaman tapi tidaklah sehingga tercungap-cungap ketika bersenam," katanya yang menasihati orang ramai agar tidak terlalu mengikut trend dan bersenam mengikut kemampuan diri, selain mengetepikan ego.
Sementara itu, Pakar Perunding Nefrologi dan pensyarah perubatan Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Nor Fadhlina Zakaria berkata sesiapa sahaja mungkin disyaki dengan diagnosis rabdomiolisis jika dia mengalami trauma otot akibat kecederaan remuk atau keterlaluan senaman apabila terdapat gejala seperti kesakitan otot, lesu dan muntah.
"Namun ia (rabdomiolisis) juga mungkin dikenal pasti pada peringkat yang disebabkan oleh kemerosotan fungsi buah pinggang atau perubahan warna air kencing menjadi coklat kemerahan.
“Ujian darah kreatin adalah antara ujian yang membolehkan diagnosis rabdomiolisis dilakukan apabila bacaannya melebihi 5,000 unit per liter (U/L), yang mana bacaan normal adalah kurang daripada 200 U/L, iaitu jika dalam keadaan serius, pesakit boleh datang dengan kecelaruan fikiran atau dengan masalah ritma jantung tidak stabil dan boleh menyebabkan kematian," jelasnya.
Dr Nor Fadhlina berkata walaupun kes disebabkan oleh aktiviti kecergasan masih rendah kerana tidak ramai yang terlibat dengan aktiviti spin class atau maraton melampau tanpa latihan dan persediaan, ia berpotensi meningkat sekiranya pendidikan kesihatan dan kesedaran tidak diberikan dengan baik.
Katanya kerosakan buah pinggang akut boleh diselamatkan dengan rawatan segera, terutamanya disebabkan rabdomiolisis, antaranya dengan pemberian sejumlah besar cecair intravena, seperti garam isotonik yang boleh menyelamatkan fungsi buah pinggang.
Beliau berkata rawatan dialisis juga mungkin diperlukan dalam keadaan yang serius, namun ini bersifat sementara dan kebanyakan pesakit akan mendapat semula fungsi buah pinggang normal sekiranya dia menerima rawatan segera.
“Kebarangkalian pesakit ini mendapat penyakit buah pinggang kronik tetap ada, namun sekiranya pesakit sentiasa membuat pemantauan kesihatan berkala, perkara ini boleh dielakkan,” katanya.
-- BERNAMA