Teater Muzikal Puteri Hang Li Po Bawa Penonton Ke Era Dinasti Ming -kerajaan Melayu Melaka
Oleh Atira Khalisha Nor Adnan & Norhidayyu Zainal
MELAKA, 5 Okt (Bernama) -- Menyaksikan pementasan Teater Muzikal Puteri Hang Li Po di pentas di Encore Melaka di sini, membawa penulis seolah-olah kembali ke zaman Dinasti Ming dan Kerajaan Melayu Melaka abad ke-15.
Menerusi pementasan yang dibawakan oleh Istana Budaya itu, penonton berpeluang melihat sendiri rekaan dan binaan set kapal layar yang dibuat dalam skala sebenar melalui teknologi mapping, sekali gus berjaya menambahkan nilai artistik sehingga terlupa itu hanya pentas lakonan.
Rekaan kostum yang memukau dengan setiap perincian mencerminkan keindahan dan kemewahan era tersebut menjadikan “pengalaman” berada di era Maharaja China lebih nyata, sebelum ralit dengan persembahan memukau 74 pelakon dan penari yang terlibat dalam pementasan berskala besar itu.
Sepanjang persembahan itu, sebanyak 32 lagu dimainkan secara langsung oleh 49 pemuzik daripada Orkestra Tradisional Malaysia, Orkestra Simfoni Kebangsaan dan pemuzik jemputan termasuk dari China, sehinggakan tanpa sedar lebih dua jam telah berlalu.
Lebih istimewa, pementasan yang melibatkan lebih 200 tenaga produksi itu dipentaskan di auditorium yang boleh berputar 360 darjah dan dilengkapi teknologi pentas terkini, selain platform yang boleh dikawal naik turun hingga enam meter tinggi, membolehkan peralihan adegan berjalan lancar.
Pementasan itu turut diwarnai koreografi bertenaga, dan kemampuan hampir semua pelakon untuk menyanyi secara langsung dengan penuh emosi, benar-benar meruntun jiwa dan meninggalkan kesan kepada penonton.
Teater muzikal itu merupakan cerita ilustrasi diinspirasikan daripada sejarah, iaitu persahabatan antara Maharaja China dan kerajaan Melayu Melaka pada abad ke-15, hasil karya asal Allahyarham Rahimidin Zahari. Skrip teater pula digarap semula di bawah arahan Adzwadi Saini selaku pengarah persembahan dan dibantu bakat muda daripada Istana Budaya iaitu Amsyar Azizan.
Naskhah itu dijayakan Dewi Liana Seriestha sebagai Puteri Hang Li Po, Luqman Hafidz (Sultan Melaka), Brian Chan (Laksamana Ming You), Hairi Safwan (Tun Perpatih Putih), Datin Louisa Chong (Kembang Cina), Amyza Aznan (Mak Inang) dan Saifullah Ghaz (Menteri Di Po) serta ramai lagi.
Sementara itu, penonton Dr Nur Alwani Raihan Mohd Syed, 31, mengakui teruja dengan persembahan setiap pelakon dan menyifatkan pementasan tersebut bertaraf antarabangsa.
“Memang berbaloi datang dari Shah Alam (Selangor). Ringkasnya, kami menikmati persembahan darI mula hingga tamat kerana semua lagu dan tarian menjadikan keseluruhan persembahan sangat mengasyikkan,” katanya kepada Bernama.
Katanya, mereka juga kagum dengan reka bentuk pentas dan penggunaan teknologi yang "menghidupkan” pementasan serta menjadikan penonton “sebahagian” daripada persembahan.
Sependapat, seorang lagi penonton, Dr Muhammad Ariff, 32, berkata dia berhasrat mempromosikan teater itu kepada ahli keluarga dan rakan-rakannya.
"Perkara yang paling menarik perhatian saya ialah penggunaan pentas, latar belakang pentas serta orkestra. Suara semua pelakon juga sangat sedap, terutamanya (pelakon yang memegang watak) Puteri Hang Li Po,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Istana Budaya Zubaidah Mukhtar berkata pementasan teater muzikal tersebut yang bermula dar 3 hingga 6 Okt ini adalah bagi meraikan sambutan 50 tahun Hubungan Diplomatik Malaysia dan China.
Selain itu, persembahan tersebut juga sebagai penghargaan kepada mereka yang sentiasa menyokong Istana Budaya hingga hari ini, bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-25 institusi berkenaan.
"Kerajaan menerusi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya memberikan kepercayaan kepada kami untuk menggalas projek besar ini bersempena dengan sambutan hubungan diplomatik Malaysia dan China melalui gerbang kesenian dan kebudayaan.
“Semestinya tugasan ini digalas dengan penuh tanggungjawab bagi membuktikan kepakaran tenaga kreatif Istana Budaya mampu menghasilkan persembahan berskala cemerlang dan bertaraf antarabangsa,” katanya.
-- BERNAMA