Pelukis Cipta Fenomena Dengan Contengan Anime Pada Kenderaan

Oleh Mohd Afiq Zulkifli

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Siapa sangka, menerusi minat dan usaha keras, Mohd Rozamil Mohd Yatim, atau lebih dikenali sebagai Zameer Pentbrush, mencetuskan satu trend dalam kalangan pemilik kenderaan di negara ini. 

Pelukis dari Seberang Takir, Terengganu ini menjadi buruan ramai pemilik yang ingin memberi identiti unik kepada kenderaan mereka melalui lukisan berkonsep contengan anime. 

Menggunakan teknik borderline yang dimahiri secara dalam talian, Zameer, 39, bukan sahaja menerima tempahan dari dalam negara, tetapi juga daripada pemilik kenderaan di Brunei dan Singapura, dengan ada yang sedia membayar ribuan ringgit untuk mendapatkan sentuhan beliau. 

Bercakap kepada Bernama, Zameer berkata beliau menghasilkan seni di atas badan kenderaan secara spontan dengan lukisan dibuat dalam bentuk komik atau anime.

“Saya tidak sediakan lakaran awal tetapi hanya berdasarkan gambaran dan perbincangan dengan pelanggan tentang apa yang mereka inginkan. Kemudian saya akan mula melukis. Jika ada yang perlu ditambah, pelanggan akan beritahu dan saya akan ikut sehingga mereka berpuas hati dengan seni yang dihasilkan,” katanya.


Kata beliau, setiap karyanya mengambil masa antara tiga ke lima jam untuk disiapkan.

Zameer yang turut berpengalaman selama 19 tahun dalam teknik airbrush, berkata hingga kini beliau telah melakukan “contengan" ke atas lebih 30 kenderaan termasuk lori, kenderaan pelbagai guna, motosikal serta jentera berat.

Mengakui pernah dikecam oleh pihak yang menganggap kerja beliau sebagai vandalisme serta kerja gila dan merosakkan kenderaan, lelaki ini berkata beliau tidak ambil endah dengan kecaman itu.

“Apabila ia (seni) kembali tular awal tahun ini, saya tidak sangka dapat meraih perhatian masyarakat dan menerima banyak maklum balas positif,” kata bapa kepada dua anak itu.

Jelasnya, karya beliau yang menggunakan pena penanda akrilik tidak merosakkan cat asal kenderaan selain dapat bertahan hingga setahun atau lebih lama lagi jika badan kenderaan dibalut dengan lapisan filem perlindungan cat (PPF) berkualiti.


Zameer tidak bersendirian dalam menyiapkan karya, kerana beliau dibantu oleh dua anaknhya Muhammad Rassyaq Rayyan, 13 dan Nur Rayysya Rayyana, 11 yang masing-masing mewarisi bakatnya itu sejak kecil.

“Jika tempahan memerlukan saya berada di luar daerah selama dua hingga tiga hari dan tidak melibatkan hari persekolahan, saya akan bawa keluarga termasuk isteri saya Tuan Rohaya Tuan Ali untuk memenuhi tempahan itu,” jelasnya, menambah aktiviti itu mengukuhkan lagi ikatan kekeluargaan mereka.

-- BERNAMA

Zameer Pentbrush, conteng, kenderaan, lukisan, inspirasi