Lebih 50,000 Pengunjung Meriahkan Karnival Monsta Fiesta
PETALING JAYA, 9 Dis (Bernama) -- Lebih 50,000 pengunjung dari seluruh negara hadir memeriahkan karnival tahunan MONSTA Fiesta sepanjang empat hari acara itu berlangsung bermula Khamis lepas di Sunway Pyramid di sini.
Karnival yang menyediakan pelbagai aktiviti untuk seisi keluarga itu turut memberi peluang kepada pengunjung menemui dan berinteraksi dengan adiwira kegemaran ramai antaranya BoBoiBoy, Mechamato dan Papa Papi.
Pengarah Reka Bentuk dan Pembangunan Produk MONSTA Safwan Karim berkata selain pertandingan "cosplay" dan "stamp rally" yang boleh disertai oleh seisi keluarga, pengunjung juga berpeluang menyertai MONSTA Galaxy Card Championship yang menjadi tarikan utama karnival kali ini.
"MONSTA Galaxy Card Championship sudah memasuki tahun ketiga dan kali ini diadakan kategori terbuka, iaitu kanak-kanak pun boleh berlawan dengan dewasa. Kita juga ada perkenalkan kategori baharu, Academia League, melibatkan murid sekolah rendah 'bertarung' dengan murid sekolah rendah lain.
“Jadi, pada Khamis lepas mereka mula 'bertarung'... ada yang datang dari Kedah dan Johor. Insya-Allah, setiap tahun kami akan cuba perbesarkan lagi aktiviti MONSTA Galaxy Card Championship ini,” katanya ketika ditemui Bernama di sini pada hari terakhir karnival.
Safwan berkata pihaknya juga merancang untuk mengembangkan permainan produk syarikatnya itu ke negara lain seperti Indonesia.
"Kita cuba kembangkan lagi permainan MONSTA Galaxy Card dengan penyertaan lebih ramai dari seluruh negara dan setelah tiga tahun permainan itu diadakan, orang ramai semakin mahir dengan permainan berkenaan.
"Dengan respons yang positif ini, kita berhasrat untuk mengembangkannya ke Indonesia pada tahun depan," katanya.
Dalam pada itu, Safwan berkata pengunjung yang hadir berpeluang menonton sedutan episod BoBoiBoy Galaxy Gentar secara percuma yang bakal ditayangkan pada 21 Dis ini.
“Sebenarnya episod ini akan ditayangkan pada cuti sekolah nanti di beberapa penstriman video dalam talian, antaranya Netflix untuk tayangan di Malaysia, manakala RTV di Indonesia. Jadi, sesiapa yang hadir di MONSTA Fiesta kali ini dapat tengok dulu lima minit yang pertama episod BoBoiBoy Galaxy Gentar, memang eksklusif di sini sahaja,” katanya.
Penganjuran karnival MONSTA Fiesta yang memasuki tahun ke-15 itu adalah sebagai antara usaha menghargai peminat mereka yang setia menyokong sejak sekian lama, selain berkongsi minat yang sama melalui aktiviti interaktif, kejohanan dan tayangan eksklusif.
Selain itu, Safwan berkata pihaknya berharap Galaxy Card baharu yang dilancarkan setiap dua hingga tiga kali setahun itu dapat memperluaskankan lagi komuniti Trading Card Game (TCG) dan menjadikan MONSTA Galaxy Card Championship sebagai acara kemuncak tahunan.
-- BERNAMA