Pengalaman Unik Meneroka Keindahan Pahang Melalui Tren KTMB
Oleh Nurhafizah Tan
KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) – Bagi kebanyakan kita, mungkin tempoh lapan jam perjalanan dengan kereta api dari ibu negara ke Kuala Lipis, Pahang itu satu pembaziran masa, kerana dengan kereta, hanya tiga jam diperlukan.
Memulakan perjalanan selama dua jam 30 minit dengan tren elektrik ETS dari Stesen KL Sentral di sini ke Gemas, Negeri Sembilan, penulis kemudian bertukar ke perkhidmatan Shuttle Timuran ke Kuala Lipis.
Pemandangan indah alam semula jadi Pahang yang terkenal dengan khazanah hutan tropika, kampung tradisional serta sungai mengalir tenang, menjadi santapan mata penulis sepanjang lima jam perjalanan menyusuri pinggir hutan negeri Tok Gajah itu – sepadan dengan julukan “Old Jungle Trail.
Diundang mengikuti Program Pahang Rail Tourism 2024 itu, penulis teruja melihat beberapa lokasi geotapak sepanjang perjalanan, antaranya Taman Negara Sungai Relau, Gua Sisik Naga, Gua Tahi Bintang dan Bandar Kuala Lipis.
Berkongsi pendapat serupa Noorafeza Rozali, 35, seorang lagi peserta program itu, yang menyifatkan perjalanan dengan kereta api memberikan kepuasan buat mereka yang mahu meneroka keindahan alam semula jadi.
“Berbeza menaiki kenderaan lain seperti bas mahupun kapal terbang, matlamat lebih kepada mahu cepat sampai ke destinasi, jadi tidak sesuai buat mereka yang ingin cepat. Namun, percutian kereta api boleh jadi pengalaman menarik bagi mereka yang mahu menikmati perjalanan itu,” katanya.
Biarpun begitu, pemandu pelancong yang berpusat di Kuantan ini berpandangan perjalanan lebih menarik jika diadakan pelbagai aktiviti di dalam tren.
”Walaupun pemandangan cantik, perjalanan yang lama ini mungkin menjadi lebih menyeronokkan dengan pelbagai aktiviti dalam tren, seperti permainan interaktif atau aktiviti berkumpulan selain hanya duduk, tidur atau menikmati pemandangan,” katanya.
Bagi penggemar sukan berbasikal Syed Amir Shah Syed Lope, 59, dia melihat kemudahan koc basikal yang disediakan memberi peluang untuknya dan rakan-rakan bergerak dengan selesa tanpa perlu risau tentang tempat penyimpanan basikal.
Menyifatkan kemudahan itu akan dapat menarik lebih ramai pelancong yang gemar menjelajah dengan cara aktif dan sihat, lelaki ini turut mencadangkan agar pihak berkenaan mempromosikan laluan basikal yang menawarkan pemandangan indah bagi menarik penggiat sukan tersebut meneroka Pahang.
Syed Amir yang mula aktif dalam sukan berbasikal pada 2015, turut melihat perjalanan dengan kereta api dapat membangkitkan nostalgia bagi mereka yang pernah menggunakan perkhidmatan itu ketika kereta api menjadi pengangkutan utama satu masa dahulu.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang Leong Yu Man berkata penawaran pelancongan rel itu memberi pilihan kepada pelancong untuk meneroka negeri yang kaya dengan khazanah alam tersebut dengan mod pengangkutan di luar kebiasaan.
"Program ini memberikan peluang kepada pelancong untuk lebih menikmati ketenangan perjalanan sambil menghargai alam semula jadi. Perjalanan kereta api ini menawarkan nilai lebih daripada sekadar destinasi," katanya.
Leong berkata selain daripada khazanah alam, pengembara juga boleh melawat pelbagai bangunan bersejarah seperti Masjid Negeri Lama Pahang dan Kuala Lipis Clock Tower di bandar yang pernah menjadi ibu negeri Pahang hingga 1955 itu.
-- BERNAMA