Ketirisan Kencing Jejas Kualiti Hidup Wanita
Oleh Norhidayyu Zainal
KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) -- Sarah (bukan nama sebenar), menjalani kehidupan harian dalam keadaan kurang selesa selain diselubungi rasa malu kerana dia kerap kali terkucil, gagal mengawal pundi kencing, tanpa mengira masa dan tempat.
Situasi itu membuatkan wanita berusia 35 tahun ini mengelak daripada menghadiri aktiviti sosial seperti majlis keramaian.
Mungkin bagi sesetengah orang, masalah yang dialami oleh ibu kepada tiga cahaya mata itu remeh, namun gejala ketirisan kencing atau kencing bocor ini boleh menjejaskan kualiti kehidupan dan keyakinan diri seseorang.
Pensyarah perubatan di Jabatan Obstetrik & Ginekologi, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Ixora Kamisan Atan berkata masalah yang disebut sebagai “inkontinens urinari” itu juga merujuk keadaan individu yang tidak dapat mengawal daripada membuang air kecil.
“Masalah ini lazimnya akibat kelemahan atau gangguan fungsi otot dasar pelvis yang boleh menyebabkan ketirisan kencing, najis, tombong (peranakan jatuh) dan gangguan fungsi seksual,” katanya kepada Bernama.
Dr Ixora yang juga Pakar Perunding Obstetrik, Ginekologi dan Uroginekologi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, berkata terdapat pelbagai jenis inkontinens urinari, namun paling lazim ialah akibat terdesak atau urge urinary incontinence dan bebanan terhadap otot dasar pelvis (stress urinary incontinence).
"Gejala urge urinary incontinence’ berlaku bersama-sama perasaan terdesak untuk membuang air kecil manakala stress urinary incontinence’ pula air kencing keluar tanpa kawalan ketika batuk, bersin, ketawa atau beriadah," jelas beliau.
Katanya, masalah terkucil itu juga boleh berlaku ketika mengangkat barang atau semasa bangun dari duduk dan biasanya berlaku kepada wanita, khususnya mereka yang pernah hamil dan melahirkan.
“Masalah ini juga dikesan dalam kalangan wanita yang menopaus, obes, mengalami masalah saraf dan penyakit kronik seperti kencing manis dan masalah paru-paru, selain faktor penuaan dan amalan gaya hidup tidak sihat,” tambah beliau.
Berpengalaman 17 tahun dalam bidang ginekologi dan 12 tahun dalam uroginekologi, Dr Ixora berkata kajian menunjukkan 16 hingga 23 peratus wanita di Malaysia mempunyai masalah ketirisan kencing.
Lebih membimbangkan kata beliau, kebanyakan wanita terbabit memilih berdiam diri kerana rasa malu.
“Mereka malu untuk berbincang hal itu secara terbuka termasuk enggan bertemu doktor bagi mendapatkan penjelasan dan rawatan,” katanya, menambah situasi tersebut berisiko membuatkan seseorang berasa rendah diri, tertekan dan mengalami kemurungan.
“Malah, ada yang beranggapan masalah itu adalah sebahagian daripada kehidupan sebagai wanita,” katanya lagi.
Dr Ixora menyarankan pesakit berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan dan ubat-ubatan yang sesuai, pada kadar segera, selain merujuk pakar fisioterapi bagi mempelajari senaman menguatkan otot dasar pelvis.
“Senaman otot dasar pelvis secara rutin termasuk semasa kehamilan juga membantu. Selain itu, sakit kronik seperti diabetes dan masalah paru-paru juga harus dirawat dengan baik kerana penyakit tersebut boleh menyumbang kepada masalah urinari," katanya.
Pada masa sama, beliau menyarankan agar lebih banyak program pendidikan dijalankan bagi meningkatkan kesedaran, selain menasihati golongan wanita mengamalkan gaya hidup sihat termasuk mengekalkan berat badan ideal, mengurangkan pengambilan kafein dan alkohol serta berhenti merokok.
-- BERNAMA