Trend Tudung Manik Era 90-an Pikat Pencinta Fesyen Gen Z
Oleh Atira Khalisha Nor Adnan
KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Melihat 'shawl' atau selendang dengan sulaman manik pastinya mengembalikan nostalgia trend tudung “mak-mak” yang popular pada era 1990-an hingga awal 2000-an.
Lebih 20 tahun berlalu, tudung sedemikian kembali mewarnai dunia fesyen apabila pempengaruh media sosial, antaranya Dahlia Rizal, Sofea Shra dan Nurul Ellyna, mengangkat populariti hijab yang mungkin dianggap ketinggalan zaman itu di platform masing-masing.
Banyak berkongsi gambar dan video tutorial pemakaian, mereka membuktikan tudung berkenaan mampu memberikan penampilan elegan dan klasik kepada si pemakai.
Penggiat TikTok Aida Razman yang turut “terjebak” dengan trend itu, berkata pada awalnya dia “gerun” untuk menggayakan tudung bersulam manik berkenaan kerana risau tidak sesuai dengan penampilannya.
“Mula-mula Aida nampak ada dua orang di media sosial gayakan tudung manik ini, antaranya Dahlia Rizal, tetapi masa itu Aida rasa ia (tudung) lawa sebab Dahlia (yang sedia cantik) pakai. Kemudian, bila nampak ada lagi seorang pakai dan nampak cantik, timbul keinginan Aida untuk turut mencuba,” katanya ketika dihubungi Bernama, baru-baru ini.
Melihat ibunya menggayakan tudung berkenaan ketika zaman kanak-kanaknya, wanita ini berkata dia teruja dapat menyertai trend yang pernah diikuti oleh ibunya lebih dua dekad lalu.
Menjengah ruangan komen di akaun wanita berusia 20-an ini, ramai yang meluahkan rasa kesal kerana telah melupuskan tudung manik milik mereka selepas menyangka fesyen itu sudah lapuk dan tidak lagi sesuai digayakan pada masa sekarang.
Anak jati Selangor ini yang mempunyai lebih 460,000 pengikut di laman TikToknya, berkata selain digayakan dengan cara lebih moden, reka bentuk hiasan manik juga lebih cantik berbanding dahulu, sekali gus menjadi faktor tudung ini kembali mendapat sambutan.
“Reka bentuk dulu pun ada yang cantik, tetapi sekarang lebih menarik dan sesuai dengan cita rasa anak muda. Walaupun tudung jenis ini agak jarang, Aida tunjukkan cara pakai dengan memanfaatkan inner neck menutupi aurat, jadi ramai yang ingin mencuba,” kata lepasan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan daripada Universiti Utara Malaysia ini.
Bagi Nur Liyana Mohd Tajudin atau lebih dikenali sebagai Nana Tajudin di laman TikToknya, dia lebih gemar menggayakan tudung versatil itu dengan abaya yang dianggapnya lebih sepadan.
“Baju selain abaya pun sesuai kalau pandai gayakan dan padankan, tetapi mekap juga mesti kena dengan penampilan,” katanya yang mempunyai 377,000 pengikut di akaun TikTok @nanatjdnn.
Ujar gadis berusia 22 tahun ini, dia gembira apabila menerima maklum balas positif daripada pengikutnya yang tertarik dengan kecantikan tudung tersebut.
Sementara itu, pengasas Sahara Scarves, Asma Husna Ahmad Asmadi yang menjadi antara terawal mengeluarkan tudung bermanik, tidak menyangka keluaran syarikatnya itu yang mula dijual pada Januari tahun lepas akan tular dan menjadi pilihan anak muda.
Asma Husna atau lebih popular dengan panggilan Sahara Husna oleh pelanggannya, mula menggayakan tudung milik ibunya sekitar 2017 ketika menghadiri majlis perkahwinan atau acara istimewa seperti sambutan raya kerana sukakan kelainan.
“Saya merancang untuk mula jual pada 2023, tetapi hanya dapat berbuat demikian tahun lepas. Kebetulan pula saya ada buka reruai di festival Absolute Bazaar masa nak raya, jadi terus ramai nak beli sebab waktu itu memang tidak ada orang lain yang jual,” katanya yang menjual tudung manik tersebut pada harga RM199 sehelai.
Jelas usahawan berusia 29 tahun itu, maklum balas positif pelanggan dalam tempoh setahun sejak pelancaran tudung berkenaan, memberi semangat kepadanya untuk terus mereka tudung manik eksklusif.
-- BERNAMA