Xuexiang Syurga Percutian Musim Salji Di China
Oleh Nurhafizah Tan
MUDANJIANG (China), 25 Jan (Bernama) -- Impian menikmati musim sejuk di Eropah terutama di lokasi yang sering dikunjungi pelancong menjadi antara ‘bucket list’ penggemar percutian negara empat musim untuk menikmati suasana berbeza.
Walaupun tidak semua berkemampuan merealisasikan impian itu berikutan kosnya yang tinggi, ada pilihan yang lebih murah, menarik dan lebih dekat yang kurang diketahui iaitu Xuexiang sebuah perkampungan di wilayah Heilongjiang yang lebih dikenali sebagai "China's Snow Town”.
Terletak kira-kira 280 kilometer (km) dari Harbin, perkampungan ini menawarkan 1,001 pengalaman musim sejuk yang mempesonakan.
Ketika melangkah masuk ke kawasan berkeluasan sekitar 500 hektar yang dikelilingi oleh hutan tebal dan pergunungan bersalji, penulis berasa seolah-olah berada dalam buku cerita dongeng dari barat yang sering dibaca pada zaman kanak-kanak.
Pengunjung akan disambut pemandangan ratusan rumah kayu tradisional dilitupi salji tebal memutih di bahagian bumbung yang memberikan bentuk seakan cendawan dengan sebahagian besar merupakan rumah inap dan kedai komersial.
Bukan sekadar bergambar kenangan, pengunjung juga boleh mencuba beberapa tarikan musim salji seperti menaiki kereta kuda merentas pergunungan Changbai, menaiki kereta luncur anjing Husky di sekeliling kampung, bergambar bersama rubah Artik serta aktiviti mencurah air panas yang akan membeku di udara bersuhu serendah -30 darjah Celsius itu.
"Saya dari Vietnam, tidak ada salji di kampung halaman saya. Ini kali pertama saya bawa keluarga untuk merasai suasana bersalji, saat yang kami nanti-nantikan," kongsi Lao Anh ketika menikmati kopi bersama-sama dengan penulis bagi mengurangkan kedinginan.
Menurut laporan China Daily, Xuexiang sering mengalami hujan salji lebat dan diliputi salji hingga tujuh bulan pada satu-satu masa disebabkan oleh pengaruh angin sejuk Siberia, Rusia dan arus hangat dari Laut Jepun.Timbunan salji ini boleh mencapai kedalaman hingga dua meter dan kampung ini menerima lebih banyak salji berbanding tempat-tempat lain di Negara Tembok Besar itu.
Xuexiang yang menyajikan pemandangan memutih bak filem The Chronicles of Narnia bertukar lebih memukau dan meriah pada malam hari apabila limpahan cahaya lampu bergemerlapan menyinari dan menghangatkan suasana dalam suhu dingin mencengkam tulang itu.
Lebih bertuah, penulis yang berkunjung pada malam ambang tahun baharu juga berpeluang melihat kereta rusa kutub tidak ubah seperti yang sering dipandu Santa Klaus dalam filem Hollywood, selain acara perarakan budaya dan persembahan muzik oleh penghibur tempatan.
Bagi menikmati pemandangan tersebut lebih daripada sehari, pengunjung tidak semestinya perlu menginap di tempat yang mendapat julukan “China Winter Wonderland” itu yang kosnya mencecah RM1,200 semalam, sebaliknya ada pilihan menyewa di perkampungan Xuegu (Snow Valley) yang menawarkan harga jauh lebih murah serendah RM50.
Dari Xuegu, terdapat dua cara untuk ke Xuexiang, iaitu dengan menaiki bas menempuh perjalanan sejauh 100 km yang mengambil masa sekitar dua jam dengan bayaran 80 yuan (RM50), atau dengan mendaki Gunung Yangcao yang memisahkan dua kawasan itu sejauh 15 km.
Menurut pengusaha rumah inap Xiao Wang, penulis tidak perlu mendaki sendiri dari bawah untuk menuju puncak pergunungan setinggi 1,235 meter itu, sebaliknya terdapat beberapa mod pengangkutan yang tersedia mengikut turutan.
Menurutnya, ia bermula dengan menaiki kereta kuda kira-kira 20 minit, kemudian perlu mendaki sejauh empat kilometer, seterusnya membonceng motosikal salji dan diakhiri dengan menuruni laluan gelongsor salji sepanjang lebih lima kilometer lagi untuk sampai di Xuexiang.
Teruja dengan alur perjalanan unik dan menarik diceritakan gadis ceria itu, penulis dan rakan kembara meminta pertolongannya mengatur dan membeli tiket untuk perjalanan tersebut yang menelan belanja hampir 400 yuan (RM245), belum termasuk tiket ke Xuexiang berharga 120 yuan (RM74)
"Kamu pasti? Saya boleh aturkan kalau kalian memang ingin merasai pengalaman itu, tapi kalau tujuannya hanya untuk sampai di sana, saya syorkan kalian naik bas,” katanya meminta kepastian sambil tersenyum.
Ternyata pengembaraan mendaki gunung tersebut tidaklah semudah disangka. Kami berdepan beberapa cabaran antaranya tiada pandu arah yang jelas selain halangan bahasa, namun itulah rencah dan keindahan mengembara,
Walaupun sesat dan berinteraksi seperti 'ayam dan itik' dengan orang ramai dan pekerja yang ditemui, kami berjaya juga sampai di destinasi dihajatkan pada 3.30 petang, mungkin lebih lambat berbanding menaiki bas tetapi ia menjadi pengalaman tidak ternilai buat penulis.
Bagaimanapun, bagi mereka tidak mahu pening kepala mengatur itinerari sendiri, terdapat banyak pakej pelancongan ditawarkan oleh hotel di bandar Harbin meliputi pelbagai tempat tarikan di wilayah tersebut.
-- BERNAMA