‘Rock It Like Amy’ Tema Busana Konsert Amy Search

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Selepas mengumumkan konsert solo pertamanya yang dijadualkan pada 26 April depan, penyanyi rock legenda tanah air Datuk Amy Search hari ini berkongsi tema pakaian buat peminat yang bakal hadir di Axiata Arena kelak.

Membawa tema ‘Rock It Like Amy’, pemilik nama Suhaimi Abdul Rahman, 67, ini mahu peminat yang datang ke konsertnya tampil dengan imej rock n’roll sebagai tanda penghormatan kepada evolusi muzik rock serta perjalanan seninya selama lebih empat dekad.

“Saya nak semua yang datang ke konsert ini menghidupkan kembali gaya rock yang pernah saya gayakan sejak empat dekad lalu hingga sekarang. Sama-sama kita rasai pengalaman dunia rock yang pernah mencetuskan fenomena sekitar 80-an dan masih mendapat tempat hingga kini,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut bapa kepada pelakon Nabila Huda itu, pemilihan tema berkenaan selari dengan konsep konsert yang bakal menampilkan pelbagai elemen magis dan luar biasa.

Jelasnya lagi, sentuhan hebat Jennifer Thompson selaku pengarah konsert serta pimpinan muzik oleh Rie Tsuji akan mencipta magis dalam konsert yang akan menjadi kenangan buat peminat.

“Konsert ini akan mengembalikan segala nostalgia dan memberikan kenangan manis kepada semua,” katanya.

Peminat boleh membeli tiket untuk konsert ‘Amy Search Magic” di Axiata Arena, Bukit Jalil mulai hari ini di www.wowtix.com.my.

-- BERNAMA