Melinda Looi Bawa Jenama Malaysia Ke Persada Antarabangsa

Oleh Atira Khalisha Nor Adnan

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Pereka fesyen terkenal tanah air Melinda Looi terus mengukuhkan jenamanya di peringkat antarabangsa menerusi koleksi pakaian seragam kerja Melinda Looi Uniform Atelier yang diperkenalkan 15 tahun lepas.

Seiring dengan reputasinya sebagai pereka fesyen berinovasi, Looi, 52, hingga kini telah melebarkan pasaran koleksi itu ke Vietnam, Singapura, China dan Indonesia, dengan harapan dapat membawa jenama fesyen tempatan lebih jauh di persada dunia, khususnya dalam sektor korporat seperti perhotelan.

Katanya, beliau cuba memperkenalkan budaya negara ini menerusi elemen cetakan batik, songket dan tenun dalam rekaannya bagi memartabatkan warisan tersebut.

“Saya akan cuba tonjolkan warisan budaya kita (dalam setiap rekaan) kerana bagi saya amat penting untuk kita tunjukkan kepada dunia apa yan kita ada.

“Menerusi kerjasama terbaharu saya dengan rakan kongsi di China, jenama itu mempromosikan saya sebagai pereka Malaysia untuk pakaian seragam dan juga pereka fesyen. Diharapkan usaha sama ini dapat membawa lebih banyak perhatian kepada Malaysia,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.


Bagaimanapun kata Looi, apabila mereka pakaian seragam kerja untuk hotel, lazimnya agak sukar untuk menyelitkan elemen budaya Malaysia dalam rekaannya disebabkan beliau perlu selari dengan jenama hotel berkenaan.

“Saya seorang pereka yang fleksibel dan boleh mereka hampir sahaja yang klien mahu. Walaupun rekaan saya adakala agak dramatik, saya juga boleh menyesuaikan rekaan menepati kehendak jenama klien.

“Prosesnya menyeronokkan saya walaupun ada masa agak mencabar. Akan tetapi, itu semua proses pembelajaran yang saya benar-benar hargai,”  katanya yang berhasrat menembusi pasaran Eropah suatu hari nanti.


Berhubung pembuatan pakaian seragam kerja, beliau menitikberatkan pemilihan fabrik yang sesuai bagi memastikan keselesaan si pemakai.

“Uniform harus diperbuat daripada material yang senang dijaga, boleh basuh menggunakan mesin selain selesa dipakai dalam apa juga keadaan. Kami gemblengkan ciri-ciri seperti antikedut, perlindungan ultra ungu, malah fabrik yang menjauhkan nyamuk. Kesemua ini antara aspek utama yang dipertimbang ketika mereka pakaian seragam,” katanya.

-- BERNAMA