Lebih 35,000 Dijangka Sertai Iftar @KL 2025 - Ketua Pengarah JKKN
Oleh Norhidayyu Zainal
KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Lebih 35,000 pengunjung dijangka hadir dalam Program Iftar @KL 2025, acara tahunan berbuka puasa beramai-ramai oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), yang akan berlangsung pada 15, 16, 22 dan 23 Mac di Dataran Merdeka di sini.
Program anjuran MOTAC melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan rakan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur serta KL Food Truck Entrepreneur Association (KLFTEA) itu diadakan bagi mengimarahkan Ramadan dengan elemen budaya dan nilai murni, selain menarik penyertaan warga kota serta pelancong dari dalam dan luar negara.
Ketua Pengarah JKKN Mohd Amran Mohd Haris berkata Iftar @ KL dijangka menjadi antara program utama dalam Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Lokasi Dataran Merdeka yang ikonik dengan bangunan Sultan Abdul Samad dan kehadiran pelancong asing sepanjang masa menjadikannya platform terbaik untuk memperkenalkan budaya berbuka puasa secara besar-besaran.
“Walaupun konsep berbuka puasa secara terbuka memberikan suasana lebih meriah, hujan menyebabkan sedikit kekangan. Jadi tahun ini kami tidak mahu mengambil risiko dan akan menyediakan khemah bagi memastikan keselesaan pengunjung," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.
Mengimbau kembali kemeriahan Iftar @KL tahun-tahun sebelum ini yang menghimpunkan ribuan masyarakat berbuka puasa di atas padang dan jalan raya di Dataran Merdeka, Mohd Amran berkata sukarelawan turut memainkan peranan penting menjayakan matlamat Iftar@KL.
Beliau berkata sukarelawan merupakan duta program Iftar@KL yang dijangka diangkat MOTAC sebagai sebahagian daripada inisiatif pelancongan berasaskan budaya, bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Apa yang ingin diterapkan adalah nilai-nilai murni dan jati diri kepada masyarakat, khususnya generasi muda, melalui aktiviti gotong-royong dan program sukarelawan. Mungkin bagi sesetengah orang Iftar @KL hanya acara berbuka puasa, tetapi di sebaliknya, kami ingin menghidupkan kembali semangat kesukarelawanan dalam kalangan anak muda, termasuk pelajar sekolah, universiti dan belia,” katanya.
Mohd Amran berkata pihaknya turut berhasrat menarik penyertaan pelajar antarabangsa daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta sebagai sukarelawan bagi memperkukuh hubungan antara mereka dan komuniti tempatan.
“Sebelum ini, pelajar asing pernah terlibat dalam program sukarelawan, terutama pada peringkat awal penganjuran, namun penglibatan itu tidak berterusan. Kini, kami sedang mengadakan sesi libat urus dengan IPTA dan IPTS bagi menggalakkan semula penyertaan mereka,” katanya.
Sementara itu, seorang sukarelawan Ain Tasnim Mat Yasim, 27, berkata penyertaannya dalam program tersebut sebelum ini memberikan kepuasan tersendiri kerana berpeluang berbakti kepada masyarakat dalam bulan penuh keberkatan.
"Saya mula menjadi sukarelawan untuk Iftar @KL sejak 2019. Rasa penat hilang apabila melihat semua orang dapat duduk bersama menikmati juadah berbuka puasa dengan senyuman, menjadikan segala usaha kami berbaloi.
"Melalui kerja sukarelawan, saya dapat berinteraksi dengan pelbagai lapisan masyarakat, memupuk nilai empati serta memperoleh pelajaran berharga," kata Ain Tasnim yang sekali lagi menjadi sukarelwan Iftar@KL 2025 kepada Bernama.
Presiden Yayasan Kepimpinan Inspirasi Malaysia Mark Yogaraj Kunasegaran, 36, menyifatkan Iftar @KL sebagai platform menyatukan masyarakat pelbagai kaum dan latar belakang, selain memupuk kefahaman serta penghormatan terhadap kepelbagaian budaya.
"Program mewujudkan suasana kebersamaan apabila semua lapisan masyarakat, tanpa mengira agama dan bangsa, berkumpul untuk berbuka puasa. Program ini bukan sahaja menyemai nilai murni seperti tolong-menolong dan kesederhanaan, tetapi juga memperkukuh semangat perpaduan," katanya.
-- BERNAMA