MPO Dan DFP Umum Kepimpinan Baharu Untuk Angkat Seni Budaya Malaysia
KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) dan Dewan Filharmonik Petronas (DFP) melantik Siti Azlina Abdul Latif sebagai pengerusi yang baharu, bersama-sama Tan Sri Norliza Rofli dan Datuk Ahmad Izham Omar sebagai ahli lembaga pengarah.
Ketua Pegawai Eksekutif MPO dan DFP Hassina Begam Abdul Gani berkata kepimpinan mereka akan mengukuhkan lagi usaha organisasi itu dalam memperkayakan seni budaya Malaysia.
“Kami gembira menyambut kehadiran mereka dalam keluarga MPO dan DFP. Pengalaman luas, kecintaan terhadap seni dan kepimpinan berwawasan mereka amat bernilai untuk kami meneruskan legasi kecemerlangan MPO dan DFP.
“Bersama-sama kita akan berusaha memastikan MPO dan DFP kekal sebagai satu kebanggaan budaya Malaysia dan duta global bagi muzik orkestra,” katanya dalam satu kenyataan
Siti Azlina kini mengetuai bahagian komunikasi di Petronas manakala Norliza merupakan pakar seni dikenali dan bekas Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.
Ahmad Izham, orang lama dalam industri yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios dan memegang jawatan penting di Walt Disney Company Southeast Asia, kini beliau mengetuai Komet Productions.
MPO dan DFP turut mengucapkan terima kasih kepada Ahli Lembaga Pengarah yang akan menamatkan perkhidmatan Toh Puan Aishah Ong dan Datin Paduka Marina Mahathir, atas sumbangan mereka.
-- BERNAMA