Artis Serlahkan Kuasa Feminin Dalam Karya Inspirasi Ramayana

pix ; Mona KV

Oleh V.Sankara

KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Seniman visual Malaysia, Mona KV menzahirkan penghormatannya kepada kekuatan dan keanggunan wanita melalui karya terbaharu beliau bertajuk Alchemy yang dipamerkan di Kem Seniman ASEAN-India Ketiga di Shillong, Meghalaya, India.

Berlangsung dari 1 hingga 7 April lalu dengan tema  “Gema Ramayana: Perjalanan Seni Merentasi ASEAN dan India”, kem itu menghimpunkan bakat kreatif dari rantau ini bagi meneroka persilangan budaya melalui seni.

Bagi artis pemilik nama sebenar Mohana Kumara Velu ini, tema itu sangat dekat dengan hatinya.

“Ketabahan Sita - simbol kesucian, kekuatan dan ketekunan dalam (epik kuno India) Ramayana – benar-benar menyentuh hati saya,” katanya kepada Bernama.

“Ia mengingatkan saya kepada kekuatan dalaman ramai wanita yang tidak diungkapkan. Alchemy ialah penghormatan saya kepada kekuatan itu.”


Alchemy yang dihasil menggunakan cat akrilik dan daun emas, mengadunkan unsur air, langit dan bumi bagi menggambarkan keseimbangan semula jadi dan kerohanian. Melalui tekstur berlapis dan sapuan berus, Mona menyalurkan inti pati kewanitaan - anggun, berpijak di bumi, namun sangat berkuasa.

“Karya ini mencerminkan kepercayaan saya bahawa setiap wanita, pada dasarnya, ialah seorang dewi,” kata Mona.

Perjalanan seni anak jati Kuala Lumpur ini bermula pada usianya lima tahun dengan minat tercetus selepas melihat mural di tembok Penjara Pudu di sini.

Lepasan Malaysian Institute of Art itu mengasah bakatnya di bawah bimbingan artis Jeganathan Ramachandram.

Hasil kerja beliau dipamerkan di galeri di Itali, Sepanyol, Nepal, Amerika Syarikat dan Bangladesh. Beliau juga pernah menjadi finalis “Malaysian Emerging Artist Awards” dan “Starhill Gallery Visual Art Awards”.


Mona menggambarkan Kem Seniman ASEAN-India itu sebagai satu bentuk “pertukaran kreatif silang budaya” yang memperkaya dirinya.

“Setiap artis membawa sesuatu yang unik… cerita, tradisi dan teknik yang berbeza,” katanya. “Ia bukan sekadar kolaborasi, tetapi satu perjalanan bersama melalui budaya dan imaginasi.”

Baginya, antara pengalaman paling bermakna ialah bengkel membuat tembikar tanah liat hitam tradisional Meghalaya serta persembahan kebudayaan penuh warna-warni yang disifatkan oleh Mona sebagai sangat menyentuh hati dan mendidik.

“Pengalaman seperti ini bukan hanya memperdalam amalan seni kami, tetapi juga pemahaman antara satu sama lain. Seni menjadi jambatan, melangkaui bahasa, politik dan sempadan,” katanya lagi.

Mona juga berharap Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, dapat mengetuai usaha memperkukuh pertukaran seni dan platform kolaborasi serantau.

“Kita memiliki pemandangan seni yang sangat dinamik. Dengan lebih banyak program tempatan dan pameran antarabangsa, Malaysia boleh memainkan peranan penting dalam mengukuhkan budaya ASEAN,” katanya.

Sementara itu, Alchemy akan menjadi sebahagian daripada pameran bergerak yang dikendalikan oleh Seher India, sebuah organisasi budaya yang terkenal dalam mempromosikan seni melalui kerjasama global. Pameran ini juga dijangka dibawa ke Malaysia dalam masa terdekat.  

-- BERNAMA