Kekal Cergas Meniti Usia 90 Tahun, Rosnani Jamil Tidak Jemu Timba Ilmu

Oleh Nurhafizah Tan

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Meskipun sudah lama meninggalkan dunia penggambaran, semangat seniwati Datuk Rosnani Jamil untuk berkongsi ilmu dan memberikan pandangan dalam bidang seni tetap berkobar-kobar.

Berpengalaman lebih 74 tahun dalam industri perfileman, beliau yang lebih mesra disapa Mak Nani, mengakui bahawa sekalipun usianya mencecah 90 tahun, dirinya masih bersemangat untuk terus belajar dan menggali ilmu baharu.

Pernah membintangi filem Ibu bersama-sama dengan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Mak Nani berpandangan tidak ada batas usia dalam mencari ilmu, dan sepanjang perjalanan hidupnya beliau percaya pendidikan dan pembelajaran adalah kunci untuk terus relevan dengan dunia semasa, tanpa mengira usia.

"Saya banyak baca novel dan bahan bacaan dalam talian seperti artikel pendek,  ini melatih kita jadi lebih peka dan otak pun tetap aktif," katanya yang ditemui pada Majlis Sembang Sembang Sejarah bertajuk Pengalaman Dalam Bidang Perfileman anjuran Persatuan Sejarah Malaysia di Wisma Sejarah, di sini hari ini. 

Beliau turut berkongsi amalan kesihatan yang membantu dirinya kekal cergas pada usia lanjut, antaranya aktif bergaul dan berinteraksi dengan orang ramai.


Mengimbau kembali perjalanan kerjaya seni yang bermula ketika beliau berusia 17 tahun, Mak Nani berkata beliau tidak pernah membataskan dirinya dan sentiasa berani mencabar diri sendiri.

Sikap itu juga katanya membantu beliau menjadi pengarah wanita pertama di negara ini, iaitu satu pencapaian luar biasa bagi seorang wanita pada zaman tersebut.

"Saya sanggup belajar bahasa Inggeris untuk memahami istilah-istilah dalam dunia perfileman. Malah, saya turut mengambil kelas malam dan naik bas hanya untuk belajar," katanya,  menambah  pada waktu rehat beliau akan mengunjungi bilik penyuntingan untuk melihat proses suntingan filem dan belajar daripada editor.

Di samping itu, Mak Nani juga mengambil langkah berani dengan pergi ke London pada 1992 untuk menimba ilmu perfileman yang lebih mendalam.

Walaupun terpaksa berjauhan daripada keluarga, beliau tidak ragu-ragu untuk mengikuti kursus jangka pendek dalam bidang solekan filem pada masa lapang sebagai usaha menambah pengetahuannya dalam dunia seni.


Menerusi pengalaman dan ilmu yang diperoleh sepanjang kariernya, beliau menasihati golongan muda agar tidak mudah berputus asa dalam mengejar cita-cita mereka.

"Apabila kita bekerja dalam sesuatu bidang, kita kena ada matlamat dan tahu hala tuju. Janganlah kita membataskan kemampuan diri setakat yang ada sahaja. Kita cari lagi ilmu yang boleh membantu diri meneruskan kelangsungan dalam bidang ini," katanya.

Walaupun tidak lagi terlibat secara langsung dalam penggambaran, dengan semangatnya yang tidak pernah padam, seniwati ini tetap memberi sumbangan yang berharga kepada dunia perfileman.

"Saya masih belajar dan akan terus belajar. Menjadi tanggungjawab saya untuk berkongsi ilmu dengan generasi muda supaya mereka dapat meneruskan legasi seni kita," tambah beliau.

-- BERNAMA