Gandik Semakin Menjadi Pilihan Pengantin Di Hari Persandingan
Oleh Atira Khalisha Nor Adnan
KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Di sebalik kepelbagaian busana raja sehari dengan rekaan fesyen terkini, persalinan gaya klasik masih terus menjadi pilihan istimewa buat pasangan pengantin untuk digayakan pada hari bahagia mereka memandangkan ia mampu membangkitkan lagi aura seri pengantin.
Apatah lagi, sekiranya busana tradisional raja sehari itu dipadankan dengan aksesori warisan seperti dokoh, tali pinggang ataupun gandik, iaitu perhiasan dipakaikan pada bahagian dahi yang kini semakin menjadi trend sebagai pelengkap gaya pengantin wanita pada hari persandingan.
Biarpun begitu, perhiasan gandik yang begitu sinonim dengan persalinan songket dan gaya klasik, bagaimanapun menurut pereka fesyen tanah air, Zachrin Jaafars, sebenarnya turut sesuai untuk dipadankan dengan busana moden.
Tambah pula apabila digayakan bersama sanggul lintang, gandik mampu untuk menambahkan keanggunan pengantin wanita, lebih-lebih lagi jika kombinasi gaya moden dan klasik ini dirancang dengan kreatif oleh perunding perkahwinan berpengalaman.
“Walaupun padanan terbaik untuk gandik dengan sanggul lintang adalah songket, tetapi jika nak pakai dengan baju kebaya labuh daripada material lain pun tiada masalah,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Zachrin atau nama sebenarnya Sazrin Jaafar berkata biarpun pemakaian eksesori gandik agak mencabar dan kompleks sehingga boleh membuatkan pengantin berasa tidak selesa apatah lagi apabila ia dipakai dalam tempoh masa yang lama.
Kerana itulah, terdapat beberapa video tular di media sosial memaparkan pengantin yang memilih menggayakan aksesori tradisional itu menelan ubat tahan sakit selain turut sama meninggalkan kesan pemakaiannya pada dahi akibat cengkaman perhiasan itu.
“(Ada cara pakai gandik) Bagi yang tidak bertudung, kita ikat dengan dawai bersambung dengan cucuk sanggul supaya gandik terletak pada dahi dan tak jatuh. Memang agak tidak selesalah, tapi kalau yang bertudung, kita boleh pin terus kat tudung tanpa guna dawai.
“Dulu, gandik memang untuk orang tak bertudung dan ia cantik jika dipadankan dengan sanggul. Tetapi sekarang, tak ada masalah untuk yang berhijab as long penggayaan tudung itu kemas dan paling sesuai, jika dikenakan dengan ‘shawl’,” kata lulusan Ijazah Sarjana Muda Rekaan Fesyen daripada Universiti Teknologi Mara itu.
Berkongsi pandangan gaya tudung yang sesuai, jurugaya tudung Fatimah Az Zahra’ Sabarin yang berpengalaman dua tahun dalam bidang itu mencadangkan pemakaian tudung jenis selendang berbanding bawal kerana disifatkannya kurang sesuai memandangkannya mempunyai sengkuap.
“Gandik kena letak pada dahi. So bila pakai bawal, ia tak berapa sesuai sebab bawal ada ‘awning’ dan apabila pakai gandik, ia akan kacau bumbung (awning) tersebut, menyebabkannya tak cantik, tak kemas. So, always choose the right type of tudung untuk pakai dengan gandik,” kata wanita berusia 26 tahun itu.
Menawarkan servis penggayaan tudung buat pengantin di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan, beliau yang mesra disapa Zahra berkata biasanya akan meletakkan span sebelum gandik itu dipakai selain menasihatkan pengantin untuk mengambil dahulu ubat tahan sakit.
Zahra berkata bentuk gandik yang bersesuaian dengan saiz kepala pengantin juga amat penting dititikberatkan kerana ia akan memudahkan tugas sebagai jurugaya tudung untuk memakaikannya dengan lebih rapi kepada pengantin tanpa mengambil masa lama.
“Before saya proceed, kita akan tanya (bentuk) gandik yang diinginkan dan saya akan remind pengantin untuk cari yang bersesuaian. Sebabnya, ada gandik kena jahit seperti jenis tergantung dekat dahi. Kalau jenis ikat belakang, senang sikit sebab ia ada support pada belakang,” katanya.
Memilih menggayakan gandik lebih lapan jam pada hari bahagianya, Nornazirah Kamarudin, 26, menganggap keputusannya itu adalah tepat dan berbaloi biarpun pemakaiannya agak mencabar kerana aksesori klasik itu telah menjadikan penampilannya lebih anggun pada hari bersejarahnya itu.
"Gandik ni bukan sahaja buatkan kepala saya tidak kelihatan kosong tetapi menaikkan lagi aura dan seri pengantin. Gambar yang diambil pun jadi lawa dan kalau nak dibandingkan dengan crown, bagi saya ia nampak lebih simple,” kata anak kelahiran Skudai, Johor ini.
-- BERNAMA