Tokyo Symphony Orchestra, MPO Bakal Bersatu Dalam Konsert Unggul

Foto: Tokyo Symphony Orchestra

Oleh Christine Lim

KUALA LUMPUR,  29 Ogos (Bernama) -- Tokyo Symphony Orchestra (TSO), antara orkestra Asia paling disegani, bakal mempersembahkan sebuah konsert hebat dan penuh emosi bersama-sama dengan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) sebagai konsert keduanya di Kuala Lumpur pada 13 Sept ini.

Selepas kejayaan debut yang mendapat sambutan hangat pada 1 Jun lalu, konsert akan datang itu menjanjikan pengalaman memukau dengan sebuah suite orkestra berskala besar diinspirasikan daripada astrologi bagi menampilkan sebuah perjalanan muzik merentasi galaksi dan planet.

Pengarah Urusan TSO Yoshitaka Hirooka berkata persembahan yang akan dipimpin oleh maestro terkenal Junichi Hirokami itu bakal mengetengahkan karya komposer legenda seperti Gustav Holst dan Samuel Barber, bersama-sama gubahan malar segar Johann Sebastian Bach iaitu “Concerto for Two Violins in D Minor”.

“Kami melebarkan sayap ke rantau Asia dengan mengadakan konsert bersama di Bangkok sejak 2023 dan di Indonesia pada tahun ini.

“Kami juga berhasrat memperluaskan penganjuran konsert kami ke Filipina dan Vietnam. Di Singapura dan Korea Selatan pula, kami telah menerima tawaran untuk mengadakan konsert bersama-sama orkestra di sana,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.


Foto: Tokyo Symphony Orchestra

 

Hirooka berkata TSO juga melibatkan bakat tempatan menerusi program outreach termasuk inisiatif dengan Orkestra Remaja Kuala Lumpur  bagi memupuk penghargaan terhadap muzik klasik Barat dalam kalangan golongan muda Malaysia.

Beliau berkongsi tentang tradisi muzik klasik barat itu di Jepun yang bermula di era Meiji (1868-1912), dan menerusi pemodenan Jepun serta adaptasi budaya Barat kini diwajibkan sebagai sebahagian program sekolah. 

“Malah, versi terawal lagu kebangsaan Jepun, Kimigayo, juga dipengaruhi muzik Barat pada 1869, berpunca daripada kehadiran kumpulan muzik tentera British di Jepun sebelum melodi lagu kebangsaan dimurnikan menuruti rentak Jepun,” kongsi Hirooka.

Diasaskan pada 1946, TSO telah melakukan persembahan antarabangsa di 58 buah kota raya merentasi Eropah, Australia dan Asia dengan keseluruhan 78 konsert di luar Jepun sejak 1976.

Mengimbas kembali konsert pertama orkestra di sini, Hoorika berkata persembahan itu menerima sambutan memberangsangkan, menarik kehadiran para kenamaan termasuk duta dari Amerika Syarikat, Perancis, Sepanyol, Korea Selatan, Indonesia dan negara-negara lain, serta eksekutif daripada syarikat Jepun dan tempatan.


Tokyo Symphony Orchestra managing director Yoshitaka Hirooka

Duta Jepun ke Malaysia Noriyuki Shikata yang turut menghadiri konsert itu, menyifatkan persembahan tersebut sebagai satu peringatan yang menyentuh hati tentang kuasa muzik dalam merapatkan budaya.

“Persembahan Tokyo Symphony Orchestra bukan sahaja menampilkan keunggulan muzik mereka, malah menekankan kepentingan pertukaran budaya dalam memupuk persefahaman dan rasa hormat antara satu sama lain,” kata Shikata kepada Bernama.

Tambah beliau, konsert itu menandakan kemunculan bersejarah TSO di Malaysia di bawah projek Asia yang disokong oleh Japan Arts Council.

“Projek ini bertujuan mempromosikan pertukaran budaya dan interaksi masyarakat melalui muzik, dengan menerima kepelbagaian nilai serta budaya, demi mengembangkan  budaya muzik di seluruh Asia,” katanya.

Sebagai peminat tegar muzik klasik Barat, duta itu turut memuji konsert terdahulu orkestra tersebut di Dewan Filharmonik Petronas yang dipimpin oleh Naoto Otomo dan menampilkan karya Chopin serta komposer Rusia, Modest Mussorgsky, atas penguasaan teknikal serta emosi yang dipersembahkan.

-- BERNAMA