Filem Pecah Panggung ‘Kaithi’ Diceritakan Semula Sebagai ‘Banduan’ Buat Penonton Malaysia

KUALA LUMPUR, 31 Ogos (Bernama) -- Filem Tamil pecah panggung Kaithi, karya Kollywood yang  mencetuskan fenomena pada 2019 menerusi naratif  mendebarkan dan sarat emosi, bakal menemui penonton Malaysia melalui adaptasi tempatan berjudul Banduan yang dijadualkan tayangannya di seluruh negara bermula 6 Nov depan. 

Diterbitkan oleh syarikat produksi tempatan Number Twenty One Media dengan kerjasama Dream Warrior Pictures Sdn Bhd dari India, Banduan mencipta sejarah sebagai adaptasi pertama filem Tamil Kollywood di Malaysia, menandakan kerjasama rentas budaya yang kian kukuh antara industri filem kedua-dua negara.

 Kaithi arahan Lokesh Kanagaraj dan dibintangi oleh Karthi, menerima pujian atas aksi lasak sebenar dan penceritaan di luar kebiasaan iaitu tanpa sebarang lagu atau subplot pencintaan.  

Temanya yang berkisar tentang kasih sayang seorang ayah dan perjuangan untuk terus hidup, mendorong adaptasi filem itu dengan Banduan diolah bagi memenuhi cita rasa penonton Malaysia tanpa menjejaskan inti pati karya asal.    

“Banduan bukan sekadar salinan Kaithi tetapi penceritaan semula melalui lensa budaya, bahasa dan suasana Malaysia. Unsur aksi dan emosi diberi  penyesuaian semula bagi  mencerminkan masyarakat kita, namun pada masa sama tetap memberi ruang untuk bakat tempatan menyinar,” kata penerbit dalam kenyataan bersama di sini.

Diarahkan oleh Kroll Azry, filem ini menghimpunkan barisan pelakon hebat  tanah air antaranya  Aaron Aziz, Rosyam Nor, Afdlin Shauki, Fadhli Masoot dan Abi Madyan. 

-- BERNAMA