Rindu Masakan Malaysia, Ben Amir Buka Kafe Di Filipina
Oleh Norhidayyu Zainal
KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) -- Kesukaran mencari makanan halal dan kerinduan terhadap makanan Malaysia mendorong pelakon Ben Amir membuka sebuah kafe di Pulau Siargao, Filipina sejak dua bulan lepas.
Ben Amir atau nama sebenarnya Muhammad Amir Sabaruddin, 35, memilih untuk berhijrah ke kepulauan itu pada April lalu bagi mencari kehidupan lebih tenang, jauh daripada kesibukan kota, selain tertarik dengan keindahan semula jadi destinasi yang popular dalam kalangan peminat sukan luncur air tersebut.
Dinamakan Rasa, usaha itu bermula sebagai kedai munculan (pop-up store) sebelum berkembang kepada kafe yang menawarkan enam hingga tujuh hidangan asas, antaranya nasi lemak dan sambal ikan.
“Apabila saya berada di sana, sudah tentu kita akan rindu dengan masakan Malaysia. Jadi, saya pun terpaksa masak sebab susah nak cari makanan halal.
“Dari situ, timbul idea untuk membuka sebuah kafe… dan inilah kafe pertama di pulau itu yang menawarkan masakan Malaysia, sehingga berjaya menarik perhatian penduduk tempatan dan pelancong asing,” katanya kepada Bernama.
Selain sibuk menguruskan kafe, pelakon drama ‘Playboy Itu Suami Aku’ ini turut mengusahakan kebun mini untuk kegunaan sendiri.
“Saya tanam pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan dan sayur-sayuran, antaranya nanas, mangga, avokado, serai, kunyit dan daun pandan,” katanya yang turut merancang menternak ikan tilapia suatu hari nanti.
Seiring dengan kehidupannya di pulau itu, Ben Amir juga mula meneroka kerjaya seninya di Filipina dengan menjalin hubungan bersama-sama beberapa agensi pengurusan bakat di sana.
“Mereka berminat, cuma syaratnya saya perlu fasih berbahasa Tagalog. Jadi, sementara menunggu saya benar-benar fasih, mereka cadangkan saya mulakan dulu dengan iklan televisyen.
“Selepas itu, apabila sudah biasa dan lebih fasih, barulah boleh terlibat dengan projek lebih besar seperti drama atau filem,” katanya.
Anak jati Kuala Lumpur ini berkata proses menguasai bahasa itu mencabar kerana setiap daerah di Filipina mempunyai dialek tersendiri.
“Di kawasan yang saya tinggal ini, mereka bukan guna bahasa Tagalog standard. Ibaratnya macam di Malaysia, beza antara bahasa Melayu standard dengan loghat Kelantan.
“Jadi saya kena faham dulu asas bahasa sebelum biasakan diri dengan dialek tempatan. Buat masa ini saya boleh faham perbualan harian, cuma belum fasih sepenuhnya,” katanya.
Pada masa sama, bintang filem ‘Legasi: Bomba The Movie’ itu tetap mengutamakan kerjaya seninya di Malaysia, terutamanya dalam naskhah filem.
“Saya kini lebih selektif, hanya mahu fokus pada filem di Malaysia kerana formatnya lebih fleksibel berbanding drama bersiri yang memerlukan tempoh penggambaran lebih panjang,” katanya.
-- BERNAMA