Konsert Kampung Ronggeng 2.0 Kembali 4 Sept Ini
KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Konsert Kampung Ronggeng 2.0 yang menyajikan persembahan kontemporari dan imersif dengan mengetengahkan kisah serta suasana kampung kembali menemui peminat bermula 4 hingga 7 Sept ini.
Pengarah muzik Teuku Umar Ilany Teuku Iskandar berkata konsert yang akan berlangsung di Teater Eksperimen, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan itu merupakan konsert muzik yang unik kerana melibatkan penonton dalam jalan cerita.
“Ini kampung yang hidup melalui bunyi, gerakan dan cerita. Penonton menjadi sebahagian daripada cerita dan berpakaian seperti orang kampung,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Teuku Umar Ilany berkata konsert itu juga akan ‘melenyapkan’ sempadan antara pemuzik dan penonton, membolehkan mereka berinteraksi secara langsung, sekali gus memberikan pengalaman seolah-olah berada dalam kampung.
"Penonton bakal menikmati muzik baharu yang dimainkan dengan alat tradisional, menggamit suasana kampung dengan immersive feel kerana penonton akan jadi sebahagian daripada babak cerita,” katanya, menambah konsert berkenaan dibawakan oleh Gangsapura, iaitu kumpulan gamelan Melayu kontemporari.
Beliau berkata selepas kejayaan edisi sulung pada 2023, produksi itu kembali dengan 14 karya asli dalam konsert berdurasi dua jam, melibatkan seramai 65 orang termasuk kru, pemuzik dan pelakon.
Peminat boleh mendapatkan tiket pada harga RM99 melalui pautan https://gangsapura.com/pages/kampungronggeng.
-- BERNAMA