Semangat OKU Cekal Dalami Kemahiran Pengemasan, Penyenggaraan
Oleh Hasnah Jusid
JOHOR BAHRU, 18 Sept (Bernama) -- Di dalam sebuah bilik latihan yang dilengkapi katil bercadar, 15 peserta Orang Kurang Upaya (OKU) tekun mengikuti bengkel pengemasan anjuran Yayasan JCorp dan Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso).
Peserta dengan pelbagai jenis ketidakupayaan itu juga jelas tidak menjadikan kekurangan diri sebagai penghalang untuk menimba ilmu yang dapat meningkatkan peluang mereka bekerja dalam bidang hospitaliti kalaupun tidak menjalankan perniagaan sendiri.
Seorang daripada mereka, Abdul Haziq Amri Abdul Rahman, 34 yang mengalami kerosakan retina lebih 20 tahun lalu, berkata sekalipun mempunyai penglihatan yang terhad, dia yakin dapat melakukan tugas itu dengan baik.
“Bila saya sudah tahu susunan perabot dan kedudukan peralatan, saya boleh uruskan kerja mengemas dan membersih bilik dengan baik,” kata pemilik Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Risiko dan Takaful daripada Universiti Sultan Zainal Abidin itu kepada Bernama.
Dia yang pernah bekerja sebagai operator telefon di sebuah resort selama empat tahun sebelum pandemik COVID-19, berkata program itu membuka peluang baharu untuknya kembali ke dunia pekerjaan selepas beberapa tahun menganggur.
Seorang lagi peserta Ismarizal Ismail, 47, yang kehilangan keupayaan tangan akibat kemalangan pada 2023, melihat latihan itu sebagai peluang penting untuknya membina semula kerjaya yang diceburi sebelum insiden tersebut dan seterusnya kembali menyara keluarga besarnya.
“Saya tak mahu terus bebankan isteri. Saya yakin masih boleh lakukan tugas-tugas pembersihan asas walaupun dengan kekangan fizikal,” kata bapa kepada tujuh orang anak ini.
Pengarah Perkeso Johor Tong Sing Chuang berkata pihaknya berperanan menjalankan saringan dan pemilihan peserta bagi memastikan latihan yang disediakan menepati keupayaan individu terpilih.
“Kami mahu pastikan setiap peserta bukan sahaja dilatih, tetapi juga dibimbing sehingga benar-benar bersedia untuk menempuh dunia pekerjaan. Perkeso turut memantau penempatan (peserta) selepas latihan agar usaha ini memberi hasil,” katanya kepada Bernama.
Bengkel lima hari yang turut mendapat kerjasama Johor Skills Development Centre itu dikendalikan oleh syarikat pembersihan, Easy Clean Services Sdn Bhd dengan modul merangkumi latihan teori dan amali dalam kemasan bilik hotel, pengurusan linen dan penggunaan peralatan pembersihan.
Pengarah Eksekutif Easy Clean Zahrin Saniman berkata latihan asas perlu disusuli dengan bimbingan praktikal di tempat kerja sebenar selama satu hingga tiga bulan bagi memastikan peserta benar-benar menyesuaikan diri dengan tugasan harian.
“Hanya sekitar satu peratus hotel di Malaysia yang menggaji OKU. Persepsi negatif majikan masih menjadi cabaran utama, walhal banyak tugas belakang tabir sesuai untuk golongan ini,” katanya.
Beliau turut menekankan peranan keluarga dalam menyokong perkembangan peserta memandangkan tanpa keyakinan daripada orang terdekat, usaha pemerkasaan OKU akan menjadi lebih sukar.
Jurulatih berpengalaman lebih 40 tahun dalam bidang perhotelan, Emi Azlin Abdul Rahman yang menjadi tenaga pengajar bengkel itu, berkata pendekatan latihan berulang dan teknik visual digunakan untuk memastikan peserta menguasai kemahiran.
“Saya tekankan aspek adab, disiplin dan keyakinan diri sebelum mereka keluar bekerja. Saya mahu mereka rasa bangga dengan diri sendiri dan tidak sekadar mahu gembirakan orang lain,” katanya.
Emi Azlin turut mencadangkan Perkeso mewujudkan unit khas bagi menjalankan penilaian terperinci kebolehan peserta termasuk mengenal pasti sektor dan tugasan yang sesuai agar mereka tidak ditempatkan secara umum.
Sementara itu, Yayasan JCorp dalam kenyataan kepada Bernama berkata program itu sebahagian daripada inisiatif pembangunan komuniti, bertujuan mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan OKU melalui penempatan kerja di sektor hospitaliti, fasiliti awam dan pembersihan komersial.
-- BERNAMA