L'Oreal Lancar Vichy Dercos, Fokus Penjagaan Kulit Kepala

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- L’Oreal Group melancarkan Vichy Dercos di Malaysia dan Singapura, yang memperkenalkan pendekatan berasaskan dermatologi bagi menangani masalah kulit kepala seperti kelemumur dan keguguran rambut.

Ia susulan peningkatan permintaan di Asia Tenggara, dengan iklim panas dan lembap menyumbang kepada pengeluaran sebum berlebihan serta pertumbuhan kulat, yang seterusnya menyebabkan pelbagai masalah kulit kepala.

Menurut kenyataan LÓreal Group, Vichy Dercos mengamalkan pendekatan scalp-first dengan memberi tumpuan kepada kesihatan kulit kepala sebagai asas kepada rambut yang lebih kuat dan sihat, disokong formulasi berasaskan sains serta diuji secara dermatologi.

“Vichy Dercos menghubungkan dermatologi dan kosmetik melalui penyelesaian penjagaan rambut termaju dengan mengenal pasti punca masalah. Setiap formulasi direka untuk memulihkan kesihatan kulit kepala serta membina asas kepada akar yang kuat dan rambut lebih sihat,” menurut kenyataan itu.


Jenama berkenaan memperkenalkan dua rangkaian utama iaitu penyelesaian antikelemumur dan antikeguguran rambut, yang dirumus bagi menangani punca masalah dengan memulihkan keseimbangan mikrobiom kulit kepala.

Rangkaian antikelemumur itu menampilkan syampu yang diformulasikan dengan selenium disulfida dan asid salisilik bagi membantu menghapuskan kelemumur serta mengawal pengeluaran minyak berlebihan.

Sementara itu, rangkaian antikelemumur rambut merangkumi produk seperti serum Aminexil R.E.G.E.N yang direka untuk mengurangkan keguguran rambut di samping menguatkan serta menyuburkan kulit kepala bagi mendapatkan rambut yang lebih tebal.


Selain itu, Vichy Dercos turut memperkenalkan Scalp Consult Pro, iaitu teknologi diagnostik kulit kepala untuk kedua-dua pasaran.

Peranti berkenaan menggunakan pengimejan optik dan kecerdasan buatan (AI) bagi menilai parameter utama termasuk keseimbangan mikrobiom, tahap sebum serta kekuatan folikel rambut.

“Peranti ini direka untuk memberikan penilaian menyeluruh bertaraf perubatan serta memberi pandangan terhadap kesihatan kulit kepala setiap individu, melangkaui analisis pada permukaan sahaja,” menurut kenyataan itu.

Produk Vichy Dercos kini boleh didapati di rangkaian Watsons di Malaysia dan Singapura, sama ada secara dalam talian mahupun di kedai fizikal, selain turut ditawarkan di platform Shopee.

-- BERNAMA