Pameran "Inspired By TEKAT" Ketengah Tafsiran Semula Seni Sulaman Tradisional Melayu
Oleh Wartawan Bernama Lifestyle
KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Sebuah pameran seni visual yang menampilkan tafsiran semula sulaman tekat tradisional Malaysia menerusi ‘Inspired by TEKAT’ menawarkan peluang kepada orang ramai untuk menyaksikan interpretasi kontemporari kraf warisan itu di ruang seni dan komuniti Temu House, bermula esok hingga 31 Mei.
Tekat yang berasal dari zaman Kesultanan Melaka pada abad ke-15, merupakan teknik sulaman tradisional Melayu yang melibatkan susunan benang emas atau perak secara bertindih di atas dasar beralas bagi menghasilkan motif yang rumit dan indah.
Dalam satu kenyataan hari ini, pengarah projek Lina Tan berkata pameran itu bertujuan menjadikan seni warisan lebih mudah diakses serta lestari untuk khalayak lebih luas.
Beliau berkata pameran itu merangkumi demonstrasi, sesi perkongsian dengan artis serta aktiviti interaktif, sekali gus memberi peluang kepada pengunjung untuk berinteraksi secara langsung dengan kraf tersebut dan para penggiatnya.
“Kami berharap pengunjung pameran seni visual Inspired by TEKAT bukan sahaja dapat menghargai kehalusan seni tekat, malah turut membayangkan potensi baharu yang menarik untuk masa depannya,” katanya.
Inspired by TEKAT merupakan projek sulung di bawah program Arts Heritage Artists (AHA) oleh 3R Media, yang bertujuan memartabatkan serta memelihara warisan seni Malaysia dengan sokongan Yayasan Hasanah menerusi geran “Arts for All Seasons” (ArtsFAS).
Pameran itu menghimpunkan sembilan artis kontemporari, iaitu Afiza Abubakar, Chau Xhien, Daisy Ooi, Hannah Nazamil, Nadirah Zakariya, Ummi Junid, Xeem Noor, Yann dan Yante Ismail.
Selain itu, pameran turut menampilkan pelajar fesyen dan reka bentuk daripada Malaysian Institute of Art, termasuk pensyarah Wan Nor Atikah serta pelajar Ariane Paul, Lee Rong Ze, Natalia Hilliker, Russell Chin, See Ru Thern, Siti Humaira Sheik Sharufuddin, Tan Jing Xuan dan Yong Ru Yee.
Sementara itu, Pengarah Urusan Yayasan Hasanah Siti Kamariah Ahmad Subki berkata kerjasama tersebut mencerminkan bagaimana Yayasan Hasanah menyokong bidang seni bukan sahaja melalui pembiayaan, malah dengan menggalakkan pertukaran bermakna antara penggiat kraf, artis dan generasi muda.
“Kami membantu membina ekosistem yang lebih kukuh agar kemahiran warisan seperti tekat dapat terus berkembang dan berkekalan,” katanya.
-- BERNAMA