Memancing Sambil "Memburu" Senja Di Manjung

Oleh Nur Afiradina Arshad

 LUMUT, 5 Julai (Bernama) -- Trend perikanan rekreasi dilihat terus berkembang seiring perubahan gaya hidup masyarakat yang kini lebih gemar mencari aktiviti santai berasaskan alam semula jadi.

Berhampiran Pulau Pangkor, di atas kawasan tambakan laut sebuah syurga perikanan menawarkan pengalaman memancing sambil menikmati panorama matahari terbenam di tengah laut.

Beroperasi kira-kira sedekad lalu, Rockbund Fishing Chalet pada asalnya diwujudkan sebagai projek sementara sebelum berkembang menjadi destinasi pilihan kaki pancing dan keluarga yang mencari ketenangan jauh daripada kesibukan bandar.

Pengurus Rockbund Fishing Chalet Ling Jeat berkata konsep tersebut tercetus daripada keunikan lokasi itu sendiri yang dibina di atas kawasan tambakan laut, membolehkan pengunjung menikmati pengalaman memancing di tengah lautan tanpa perlu menaiki bot.


“Disebabkan oleh kerja-kerja penambakan belum lagi siap, pemilik memutuskan untuk menggunakan kawasan ini sebagai tapak perikanan rekreasi yang dilengkapi kemudahan chalet. Yang membuatkan kawasan ini benar-benar unik ialah pengunjung akan berasa mereka berdiri di tengah-tengah laut,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Ling berkata berkata majoriti pengunjung merupakan kaki pancing dari Perak, Pulau Pinang dan Lembah Klang, namun kian mendapat perhatian pelawat dari Singapura yang sanggup berkunjung berulang kali setiap tahun semata-mata kerana mahu menikmati pengalaman memancing di lokasi itu.

Hampir setiap hujung minggu kesemua 20 kabin yang disediakan penuh dengan tetamu, iaitu kira-kira 80 hingga 100 pengunjung, manakala hari biasa menerima sekitar 50 hingga 60 pelawat. Rockbund juga menyediakan 18 anjung untuk memancing pelbagai jenis ikan di situ, antaranya kerapu, pari, sembilang dan juga siakap. 

“Pada hujung minggu, suasana di sini berubah menjadi tempat keluarga bersantai. Ketika kaki pancing sibuk memancing, ahli keluarga yang lain berehat dan menikmati keindahan laut, menjadikan lokasi ini satu pintu gerbang untuk keluarga melarikan diri daripada kesibukan harian dan mempererat hubungan kekeluargaan,” katanya.


"Saya percaya itulah faktor yang menjadikan perikanan rekreasi semakin berkembang. Aktiviti ini berbeza. Daripada hanya menghabiskan masa di tempat tumpuan pelancong, di sini pelawat tidak perlu bergegas mengejar masa, sebaliknya mereka boleh memilih untuk sekadar duduk di tepi laut, mendengar bunyi ombak dan menikmati bayu laut sambil memancing dalam suasana penuh kedamaian.

“Kadang-kadang cara terbaik untuk menyegarkan semula minda dan tubuh ialah sekadar duduk berehat tanpa melakukan apa-apa,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata sekalipun pelan pembangunan untuk menjadikan kawasan itu destinasi pelancongan masih di peringkat penggubalan disebabkan oleh keadaan ekonomi semasa, pihaknya komited untuk mengembangkan lagi Rockbund.

“Untuk pembangunan fasa seterusnya, kami akan memperkenalkan kabin terapung di tengah-tengah lagun sebagai tarikan baharu,” tambahnya.

Sementara itu, bekas tentera Mohd Rizal Mohd Rajab, 51, berkata konsep chalet memancing yang menggabungkan penginapan dan lokasi memancing dalam satu kawasan menjadikan percutian lebih santai serta mesra keluarga berbanding pengalaman memancing di laut menggunakan bot.


"Sebelum ini saya banyak memancing di pulau-pulau dan kena naik bot, tetapi kali ini saya bawa keluarga sebab konsepnya berbeza, dengan yang minat memancing boleh memancing, yang tak minat boleh berehat di chalet.

Saya rasa kalau lebih banyak tempat macam ini diwujudkan dan harganya lebih berpatutan, saya percaya lebih ramai orang akan datang bercuti sambil memancing bersama-sama keluarga," katanya. 

Seorang lagi pengunjung, Ishammudin Isahak, 38, berkata bagi sesetengah pemancing, kepuasan percutian bukan lagi diukur berdasarkan jumlah hasil tangkapan, sebaliknya ketenangan memancing sambil menikmati panorama matahari terbenam yang memukau di tengah laut bersama-sama keluarga.

"Yang paling menarik di sini ialah pemandangannya sebab sebelah malam boleh lihat panorama Pulau Pangkor, manakala waktu petang pula matahari terbenam memang cantik. Itulah yang buat saya selalu datang semula," katanya. 

-- BERNAMA