Keunikan 'Si Sepit Biru' Sungai Sedili Besar
Oleh Marfika Adnan Haris Fadzilah
KOTA TINGGI, 6 Julai (Bernama) -- Tekstur isi yang pejal, kenyal dengan rasa manis semula jadi menjadikan udang galah atau sepit biru dari Sungai Sedili Besar, Kampung Gembut di sini, dambaan pemancing.
Dikatakan keenakan rasa udang galah itu berpunca daripada ekosistem air payau sungai berkenaan, di mana pertembungan air tawar dan air masin mencipta habitat sempurna bagi pertumbuhan udang galah premium dan juga hidupan akuatik lain.
Justeru, tidak menghairankan sungai yang merupakan nadi kehidupan komuniti setempat itu menjadi sebutan kaki pancing sejak era 1970-an lagi.
Anak jati Kampung Gembut yang juga pengusaha bot memancing, Iswandi Musa, 55, berkata keunikan udang di situ sukar ditemukan di lokasi lain kerana persekitaran yang bersih dan kaya dengan sumber makanan semula jadi.
Malah, hidupan akuatik di situ juga bersaiz agak besar dengan ada pemancing pernah mencatatkan rekod mendaratkan udang galah “gergasi” seberat 450 gram seekor, katanya kepada Bernama.
Iswandi berkata kualiti premium yang konsisten itu menarik kehadiran pemancing dari serata Johor untuk berkampung di jetinya setiap kali tiba musim udang.
"Malah, sungai ini juga pernah menyaksikan sorang pemancing berjaya menaikkan hasil tangkapan udang seberat 7.5 kilogram dalam tempoh sehari," katanya.
Sedar akan nilai ekonomi dan warisan yang dibawa oleh udang galah di situ, langkah pemuliharaan kini menjadi agenda utama bagi memastikan populasi si sepit biru terus berkembang.
Katanya, pada April lepas, sebanyak 200,000 benih udang galah telah dilepaskan ke sungai tersebut menerusi program kerjasama strategik melibatkan Universiti Malaysia Terengganu, Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kota Tinggi, Jabatan Perikanan Negeri Johor serta komuniti setempat.
Langkah kelestarian itu bukan sahaja bertujuan memelihara ekosistem, tetapi turut menjamin rantaian bekalan udang galah bagi menyokong sektor ekopelancongan dan ekonomi domestik yang menjadi sumber rezeki penduduk kampung.
Bagi yang ingin merasai sendiri pengalaman “bertarung” dengan sepit biru, atau sekadar mahu menikmati kemanisan isinya, Sungai Sedili Besar setia menanti dengan khazanah alam yang diidam-idamkan.
-- BERNAMA