Alami Budaya Jepun Di Tengah-tengah Belantara Tropika
Oleh Atira Khalisha Nor Adnan
BENTONG, 7 Julai (Bernama) -- Mungkin kita tidak pernah terfikir untuk menikmati teh tradisional Jepun di tengah-tengah hutan hujan tropika Malaysia, namun di Japanese Garden Berjaya Hills, Bukit Tinggi di sini yang menempatkan sebuah rumah teh Jepun, pengunjung berpeluang meneroka tradisi berusia ratusan tahun itu.
Berlatarkan kabus di kawasan tanah tinggi dan suhu nyaman serta gabungan luar biasa antara warisan budaya Jepun yang penuh kehalusan dengan persekitaran hutan hujan purba Malaysia, menjadikan rumah teh itu sebagai antara tarikan budaya paling unik di negara ini.
Ditambah pula dengan bunyi lembut aliran air yang bergema di seluruh taman serta laluan berbatu yang disusun rapi, membangkitkan suasana damai seolah-olah pengunjung berada di sebuah tempat percutian tradisional Jepun.
Pengurus Berjaya Hills Japanese Teahouse Chan Lai Chean berkata di rumah teh itu, pengunjung boleh menghayati budaya Jepun dalam suasana tropika yang nyaman sambil menghirup matcha yang baru disiapkan atau menyertai upacara minum teh tradisional Jepun.
Upacara minum teh Jepun ialah amalan budaya tradisional yang berpusat pada penyediaan dan penyajian matcha. Setiap gerak-geri dalam upacara itu dilakukan dengan penuh teliti bagi mewujudkan rasa kesedaran diri serta hubungan yang lebih erat antara tuan rumah dan tetamu.
“Ini merupakan rumah teh Jepun pertama yang dibina di dalam hutan tropika,” kata Chan kepada Bernama, menambah, “Bagi tetamu yang menyertai upacara minum teh Jepun, kami menyediakan sebuah bilik menunggu untuk mereka sementara tuan rumah membuat persiapan yang diperlukan.”
Menurutnya, pengalaman upacara minum teh di situ mengikut tradisi aliran Omotesenke, iaitu setiap pergerakan dilakukan dengan penuh ketelitian dan mempunyai tujuan tertentu.
(Omotesenke ialah satu daripada tiga aliran utama upacara minum teh Jepun yang mengekalkan tradisi penyediaan teh, adab serta nilai estetik yang diwarisi sejak berabad-abad lamanya.)
Setiap sesi dihadkan pada kumpulan kecil, lazimnya melibatkan hanya empat hingga lima peserta, bagi membolehkan tetamu menyaksikan dan menghayati keseluruhan ritual itu, daripada proses penyediaan hingga penyajian teh.
Chan berkata setiap elemen di taman Jepun dan rumah teh itu dirancang dengan teliti bagi mengekalkan keasliannya, sambil disesuaikan dengan persekitaran unik hutan hujan tropika.
Taman itu direka oleh seorang arkitek Jepun, manakala rumah teh pula dibina menggunakan bahan-bahan yang dibawa khas dari Jepun.
Terletak pada ketinggian kira-kira 3,500 kaki dari aras laut, lokasi itu menggabungkan estetika tradisional Jepun dengan iklim sejuk Bukit Tinggi.
Chan berkata perbezaan antara suasana tradisional Jepun dengan persekitaran semula jadi hutan hujan Malaysia menjadikan pengalaman itu benar-benar istimewa.
“Di Jepun, terdapat empat musim. Di sini pula anda dapat menikmati budaya Jepun dalam suasana yang dikelilingi kehijauan tropika. Perbezaan itulah yang menjadikan pengalaman tersebut begitu unik,” katanya, menambah pengunjung juga berpeluang mengenakan kimono, iaitu pakaian tradisional Jepun.
Sementara itu, wakil Omotesenke Cawangan Kuala Lumpur, Yamamoto Rie berkata upacara minum teh Jepun bukan sekadar menikmati teh, tetapi turut berkongsi falsafah di sebalik amalan yang diwarisi sejak ratusan tahun lalu serta cara tradisional penyediaan matcha.
“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini matcha semakin popular di Malaysia. Namun masih ramai yang tidak mengetahui cara penyediaan matcha yang betul dalam upacara minum teh tradisional,” katanya.
Yamamoto berkata upacara itu turut memperkenalkan urutan yang betul untuk menikmati matcha kepada peserta, iaitu dimulakan dengan menikmati manisan sebelum meminum teh.
“Matcha untuk upacara minum teh dihasilkan daripada daun teh muda yang dipilih dengan teliti, kemudian dikukus, dikeringkan dan dikisar menjadi serbuk halus. Matcha ini berbeza dengan matcha segera yang digunakan untuk memasak atau minuman harian.
“Oleh sebab teh hijau matcha mempunyai rasa yang agak pahit, kami menikmati manisan terlebih dahulu sebelum meminum teh hijau itu,” jelasnya.
-- BERNAMA