Dropzone Tarik Peminat Sukan Lasak Uji Keberanian
Oleh Norhidayyu Zainal
KUBANG PASU, 7 Julai (Bernama) -- Menikmati keindahan hamparan sawah padi menghijau dan menguning yang terbentang luas bak permaidani alam di ketinggian kira-kira 140 meter dari aras laut, pastinya memberikan pengalaman yang berbeza dan sukar dilupakan buat pengunjung Bukit Kodiang.
Terletak di Kampung Kandis, kira-kira 41 kilometer dari Alor Setar, bukit batu kapur itu kini muncul sebagai destinasi pelancongan yang menggabungkan keindahan landskap desa dengan pengalaman rekreasi lasak, sekali gus menjadi tarikan baharu bagi pencinta alam serta penggemar aktiviti ekstrem.
Pengalaman itu dapat dinikmati menerusi aktiviti dropzone yang membolehkan pengunjung tergantung secara statik di udara sambil menikmati panorama 360 darjah hamparan sawah padi serta keunikan formasi batu kapur ikonik yang menjadi identiti Bukit Kodiang atau juga lebih dikenali sebagai Bukit Mok Cun.
Idea untuk membangunkan produk pelancongan itu menurut Nabilah Hanim Abdul Rahman, 44, tercetus pada 2018 selepas pihaknya mendapati struktur batu kapur di puncak Bukit Kodiang terlalu tajam dan tidak sesuai untuk aktiviti abseiling kerana boleh merosakkan tali keselamatan.
“Bukit ini cantik terutama pemandangannya yang mempunyai nilai tinggi sebagai produk pelancongan, tetapi batuannya terlalu tajam untuk aktiviti abseiling. Jadi kami fikir apa yang boleh dibuat dan dari situlah kami mula cipta dropzone.
“Asalnya ia (sistem tali) yang digunakan dalam kerja pembinaan khususnya ketika mengangkat bahan berat untuk kerja-kerja kubah masjid. Daripada situ, kami ubah suai untuk digunakan dalam industri rekreasi luar,” kata Pengarah Pengurusan Pretty World Resources ini kepada Bernama.
Keunikan konsep itu menjadikan dropzone bukan sahaja pilihan buat penggemar aktiviti lasak dan pencinta alam yang ingin menikmati panorama sawah padi dari sudut berbeza, bahkan turut menarik minat mereka yang gemar merakam gambar serta video berlatarbelakangkan pemandangan desa yang memukau.
Ia menurutnya, berbeza daripada zip line dan flying fox kerana peserta tidak meluncur sendiri sebaliknya dikendalikan sepenuhnya oleh pasukan teknikal yang akan menurunkan mereka secara terkawal sebelum berhenti di satu titik selama kira-kira tiga hingga lima minit bagi merakam gambar dan video.
“Konsepnya mudah, kita mahu beri peluang kepada mereka yang suka aktiviti lasak tetapi takut atau gayat. Mereka hanya perlu ikut arahan, pakai peralatan keselamatan dan nikmati momen itu. Had minimum peserta, 120 kilogram dan mereka wajib memakai peralatan perlindungan diri seperti topi keledar keselamatan dan abah-abah.
“Bukit Kodiang ini tidak terlalu tinggi tetapi cabarannya tetap ada kerana peserta perlu menggunakan kekuatan kaki dan tangan untuk melalui batuan serta tangga. Kita bina kemudahan seperti tangga dan tali supaya orang yang rasa tidak mampu pun akhirnya boleh sampai ke atas,” katanya.
Sejak diperkenalkan pada 2019, lebih 4,000 peserta telah mencuba aktiviti berkenaan dengan pakej semasa berharga RM120 termasuk perkhidmatan jurugambar, insurans mendaki dan minuman ringan.
Didaftarkan sebagai hak cipta dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pada 7 Mei lepas, beliau berkata syarikat itu turut menyasarkan membawa aktiviti berkenaan ke pasaran antarabangsa selepas diperkenalkan di beberapa lokasi termasuk Menara Alor Setar dan Menara MAHA di Langkawi.
"Kewujudan dropzone turut memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat termasuk peningkatan permintaan terhadap inap desa, gerai makanan dan aktiviti pelancongan di kawasan sekitar," katanya.
Wakil agensi pelancongan Tanjak Adventure Holidays Muhammad Mustaqim Rosden yang turut menyertai program Surreal Experience in the North Kedah & Perlis berkata pengalaman pertama mencuba dropzone memberikan kepuasan psikologi yang berbeza berbanding aktiviti lasak lain seperti flying fox.
“Cabaran mendaki Bukit Kodiang amat dirasai kerana laluannya mencanak dan memerlukan kami melalui batu tajam serta beberapa tangga yang hampir menegak. Apabila berada di zon pelepasan, perasaan bertukar antara gemuruh dan teruja terutama ketika diminta melakukan pelbagai aksi seperti posisi 'Spider-Man' ketika tergantung secara statik di udara,” katanya.
Begitu juga dengan seorang lagi wakil agensi pelancongan, Muhammad Nubhan Wajdee Mohd Nazry daripada Seroja Anggerik yang merasakan perasaan gayat hanya muncul pada peringkat awal sebelum digantikan dengan keterujaan sebaik melihat keindahan panorama dari udara.
“Bagi saya, perjalanan turun semula menggunakan tangga lebih mencabar dan meletihkan berbanding diturunkan menerusi aktiviti dropzone. Selepas penat mendaki, aktiviti itu menjadi penutup yang menyeronokkan untuk mengabadikan kenangan,” katanya.
-- BERNAMA