ASWARA Anjur Festival Teater Antarnusa 2026 Bermula Khamis Depan

Foto: ASWARA

By Wartawan Bernama Lifestyle

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) akan menganjurkan Festival Teater Antarnusa 2026 (FTA 2026) selama empat hari di Kampus ASWARA, di sini, bermula 16 hingga 19 Julai ini.

Dekan Fakulti Teater ASWARA Rime Nazren Abdul Razak berkata festival berprestij itu dijangka menjadi platform dinamik yang menghimpunkan penggiat seni, tokoh teater dan anak seni dari lima negara serantau bagi meraikan kepelbagaian landskap seni persembahan teater.

Beliau berkata festival bertemakan “Tanda. Temu. Tamu.” itu turut diangkat sebagai medan interaksi budaya yang holistik serta wadah apresiasi terhadap seni teater kontemporari.

“Melalui penganjuran ini, pengunjung berpeluang menyelami keunikan budaya, aplikasi estetika moden dan kreativiti anak seni serantau menerusi pelbagai pengisian program yang komprehensif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rime Nazren berkata penganjuran FTA 2026 juga mencerminkan peranan ASWARA dalam memperkasa pendidikan seni budaya, bukan sahaja di peringkat akademik malah sebagai penggerak pembangunan industri seni kreatif negara.

Beliau berkata festival anjuran Fakulti Teater ASWARA itu turut menyokong agenda Tahun Melawat Malaysia 2026 menerusi segmen pelancongan budaya, selain menjadi ruang untuk memartabatkan seni budaya tempatan di persada antarabangsa.

Sepanjang festival berlangsung, pencinta seni dan orang awam dijemput menyertai pelbagai aktiviti bermula 9 pagi hingga 10 malam, antaranya bengkel teater, sesi Work in Progress, Kedai Cerita Runcit dan showcase teater kontemporari.

Katanya, bengkel teater akan dikendalikan seniman serantau bagi memberi pendedahan kepada peserta mengenai seni persembahan, manakala sesi Work in Progress pula mengetengahkan proses kreatif di sebalik penghasilan karya baharu.

“Kedai Cerita Runcit pula menampilkan siri monodrama pendek berkonsepkan ‘site-specific’, dengan menggunakan ruang alternatif sebagai pentas persembahan bagi memberi pengalaman teater secara bukan konvensional kepada penonton..

“Pertunjukan  teater kontemporari pula menampilkan persembahan berskala tinggi oleh artis dan kumpulan teater jemputan dari dalam serta luar negara,” katanya.

Semua aktiviti FTA 2026 adalah percuma kecuali program persembahan teater yang mengenakan tiket RM10, dan orang ramai dinasihatkan membuat tempahan slot secara dalam talian menerusi platform Cloudjoi.com berikutan kapasiti ruang yang terhad.

-- BERNAMA