Jaboticaba Cecah Usia Tiga Abad, Permata Eksotik Bernilai Tinggi
Oleh Marfika Adnan Haris Fadzilah
KULAI, 9 Julai (Bernama) -- Buahnya yang berwarna hitam berkilat seumpama anggur, namun di batang,, bukan sahaja menarik perhatian, tetapi juga mengandungi kombinasi zat yang jarang ditemukan pada buah-buahan lain.
Berasal dari Amazon, Brazil, pokok jaboticaba mampu hidup hingga beratus tahun dan kini menjadi antara tanaman bernilai tinggi di negara ini, sekalipun hanya mula menghasilkan buah selepas berusia sembilan tahun.
Keunikan buah yang turut dikenali sebagai anggur Brazil itu, membolehkan Superfruits Farm di Senai dekat sini meraih pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai ladang jaboticaba terbesar di negara ini dengan keluasan 40 ekar (16.19 hektar).
Pengarah ladang Kelvin Ooi, 40, berkata buah itu kaya dengan khasiat yang memberi nilai kesihatan tinggi kepada pengguna.
“Hasil kajian makmal mendapati jaboticaba mengandungi antosianin pada tahap tinggi yang penting untuk kesihatan mata serta melancarkan aliran darah, selain mengandungi vitamin B, C dan D, iaitu satu kombinasi yang jarang ditemukan dalam buah komersial biasa,” katanya kepada Bernama.
Ooi berkata penanaman jaboticaba merupakan pelaburan jangka masa panjang yang berpotensi memberi pulangan ekonomi lumayan.
“Jangka hayat pokok yang panjang membantu mengurangkan kos operasi kerana tidak perlu ditanam semula seperti tanaman komersial lain seperti sawit dan getah. Ini kerana, semakin tua usia pokok ini semakin banyak buah yang dihasilkan pada batangnya.
“Di negara asal atau beriklim sederhana seperti China dan Taiwan, pokok ini hanya berbuah sekali setahun, namun di Malaysia yang beriklim tropika, hasil boleh dituai antara empat hingga enam kali setahun,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata pengendalian buah tersebut memerlukan perhatian khusus kerana jaboticaba mempunyai tempoh kesegaran yang singkat selepas dituai.
Menurutnya, buah berkenaan perlu dibekukan dalam tempoh dua hari selepas dituai bagi mengekalkan kualiti kerana kandungan air dan gula yang tinggi menyebabkan buah mudah menjadi lembut dan mengalami pengoksidaan.
Bagi mengatasi kekangan itu, Superfruits Farm menjalinkan kerjasama penyelidikan dengan Universiti Teknologi Malaysia bagi mempelbagaikan produk berasaskan jaboticaba antaranya, cuka kesihatan, rangkaian produk kosmetik dan serum penjagaan kulit premium.
Selain jaboticaba, ahli perniagaan itu berkata ladang tersebut turut mengusahakan buah eksotik lain, iaitu abiu yang juga berasal dari wilayah Amazon.
Ooi berkata buah abiu mempunyai kandungan zat tinggi yang dikaitkan dengan kesihatan serta kecantikan kulit.
“Isi buah ini lembut dan apabila disejukkan teksturnya menyerupai puding selain mempunyai rasa yang unik. Bagaimanapun, abiu juga mudah rosak dan hanya mampu bertahan antara tiga hingga lima hari jika tidak dikendalikan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata di pasaran, jaboticaba dijual pada harga RM38 bagi 300 gram, manakala abiu pula sekitar RM8 sebiji.
Selain aktiviti pertanian, Ooi berkata ladang itu turut menawarkan pengalaman agropelancongan melalui konsep perkhemahan mewah atau glamping.
“Pengunjung juga boleh melihat buah jaboticaba secara dekat, menikmati madu kelulut, menangkap ikan serta menuai sayur organik. Kemudahan glamping lengkap juga disediakan termasuk aktiviti unggun api, barbeku dan sarapan,” katanya.
-- BERNAMA