AeU Libatkan Pelajar Antarabangsa Dalam Aktiviti Pemuliharaan Alam Sekitar
Oleh Norhidayyu Zainal
HULU LANGAT, 12 Julai (Bernama) -- Setelah lebih 10 bulan menuntut di Malaysia, pelajar dari Bangladesh Md Maruf Hasan Redoy, 24, menghabiskan sebahagian besar masanya memberi tumpuan kepada pengajian sehingga tidak mempunyai banyak peluang untuk meneroka keindahan alam semula jadi bersama rakan-rakan.
Bagaimanapun, penyertaannya baru-baru ini dalam Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan Projek Pelajar Antarabangsa Asia e University (AeU) di Hutan Lipur Sungai Tekala di sini bukan sahaja memberi peluang kepadanya mendekati semula alam semula jadi, malah mencipta kenangan manis sepanjang berada di Malaysia.
“Pokok merupakan elemen penting dalam alam sekitar, selain haiwan dan manusia. Melalui aktiviti ini, kami mempelajari asas penjagaan alam sekitar termasuk menanam pokok dan membersihkan sungai demi manfaat generasi akan datang,” katanya kepada Bernama selepas program itu semalam.
Pelajar tahun pertama Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan itu berkata program berkenaan turut menjadi ruang untuknya melepaskan tekanan akademik, di samping menimba pengalaman baharu serta mengeratkan hubungan dengan rakan-rakan di universiti.
Justeru, dia berharap akan diberi lebih banyak peluang menyertai program seumpama itu sepanjang tempoh pengajiannya di Malaysia.
Program anjuran bersama AeU dan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) itu menghimpunkan 117 peserta terdiri daripada pelajar antarabangsa, petugas universiti serta ahli keluarga mereka dalam usaha bersama memulihara alam sekitar dan memberi impak positif kepada komuniti setempat.
Menerusi inisiatif itu, para peserta menanam 50 pokok hutan termasuk spesies meranti dan cengal, membersihkan sungai, selain bergotong-royong membersihkan serta mengecat semula surau dan gazebo di kawasan hutan lipur berkenaan.
Berkongsi pengalaman sama, pelajar dari Nigeria Aghedo Felix Osarobo, 31, meluahkan kekagumannya terhadap usaha Malaysia dalam memelihara kawasan rekreasi dan mengekalkan kelestarian alam semula jadi.
“Saya pelajari bahawa kita mesti sentiasa menjaga kebersihan persekitaran dan memelihara alam kerana alam turut memberi manfaat kepada kita. Kita dapat menikmati udara yang segar di sini kerana persekitarannya bersih dan saya amat mengagumi cara kawasan ini diselenggara dengan baik,” katanya.
Pelajar tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dan Komunikasi yang meminati aktiviti mendaki dan rekreasi itu berkata program berkenaan bukan sahaja memberi peluang kepadanya menyumbang dalam usaha pemuliharaan alam sekitar, malah mengeratkan hubungan dengan rakan sekelas, pelajar lain serta petugas universiti.
Bagi pelajar dari Indonesia Faza Naziila Dias Shanti, 21, program kemasyarakatan itu memberi peluang berharga untuk terlibat secara langsung dalam aktiviti pemuliharaan alam sekitar.
Pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dan Komunikasi itu berkata pengalaman berkenaan membolehkannya memahami dengan lebih mendalam mengenai kelestarian alam sekitar di samping berinteraksi dengan pelajar serta petugas daripada pelbagai latar belakang.
“Menerusi projek ini, kami berpeluang menanam pokok, membersihkan sungai dan menambah baik kemudahan sedia ada. Saya juga mendapati kawasan rekreasi di sini dijaga dengan baik, dengan sungai yang bersih serta persekitaran tenang,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Kumpulan Pengurusan dan Pembangunan Bakat AeU Prof Madya Dr Norlina Kamudin berkata program berkenaan bukan sekadar inisiatif khidmat masyarakat, sebaliknya menjadi platform pembelajaran yang membolehkan pelajar menghayati tanggungjawab sosial menerusi pengalaman secara langsung.
“Kami berharap penglibatan pelajar tidak hanya tertumpu di bilik kuliah atau dewan kuliah, sebaliknya diterjemahkan melalui sumbangan bermakna terhadap usaha menjaga kebersihan dan memulihara alam sekitar.
“Menerusi aktiviti seperti penanaman pokok, gotong-royong membersihkan kawasan dan penyelenggaraan kemudahan awam, pelajar dapat memupuk semangat kesukarelawanan yang lebih kukuh, di samping meningkatkan kemahiran bekerja secara berpasukan, berkomunikasi, kepimpinan dan penyelesaian masalah,” katanya.
Norlina berkata pengalaman pembelajaran berasaskan komuniti amat penting dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah memiliki integriti, empati serta rasa tanggungjawab terhadap masyarakat dan alam sekitar.
Beliau berkata kerjasama strategik dengan JPNS turut memperkukuh hubungan antara universiti, komuniti dan agensi kerajaan, di samping membuka lebih banyak peluang untuk melaksanakan inisiatif pemuliharaan alam sekitar pada masa hadapan.
“Kelestarian alam sekitar ialah tanggungjawab bersama yang perlu diterjemahkan melalui tindakan dan amalan secara berterusan, bukan sekadar ungkapan. Walaupun usaha yang dilakukan kecil, ia mampu memberikan impak besar apabila dilaksanakan secara konsisten dan berganding bahu,” katanya.
-- BERNAMA