Teater ‘Impian Di Ambang Waktu’ Di IPG Kampus Ilmu Khas Bermula Malam Esok

Oleh Wartawan Bernama Lifestyle

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) akan mementaskan teater realisme Impian di Ambang Waktu di Dewan Dato' Razali Ismail, Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK) di sini, selama dua hari bermula esok.

Penulis dan pengarah teater Subroto Katimin berkata pementasan yang dijadualkan pada 8 malam itu merupakan acara kemuncak Bengkel Kerja Teater Realisme sebagai Medium Pengukuhan Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) Tahun 2026.

Beliau berkata teater itu mengangkat tema kesihatan, kasih sayang, nilai kemanusiaan, keinsafan serta kepentingan membuat pilihan yang bijaksana dalam kehidupan.

“Teater ini turut menampilkan penyertaan pegawai pengurusan, pensyarah, aktivis teater dan siswa guru inklusif serta peserta dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU).

“Pementasan ini mencerminkan komitmen IPGM dalam memanfaatkan seni persembahan sebagai medium memperkukuh penguasaan bahasa, memupuk nilai kemanusiaan serta menyokong aspirasi pembentukan masyarakat MADANI yang inklusif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Subroto berkata pementasan teater itu akan menjadi platform yang bukan sahaja mengangkat mutu seni teater tempatan, malah memperlihatkan bagaimana seni persembahan dapat menyokong pelaksanaan dasar MBMMBI melalui pendekatan kreatif, inklusif dan berteraskan nilai kemanusiaan.

“Saya mengundang orang ramai, khususnya warga Kementerian Pendidikan Malaysia, institusi pengajian tinggi, pengamal bahasa dan sastera, penggiat seni serta pelajar hadir menyaksikan pementasan ini. Masuk adalah dengan sumbangan ikhlas,” katanya.

Menurutnya, program berkenaan merupakan hasil kolaborasi strategik antara IPGM dengan IPGKIK selaku tuan rumah, Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Putrajaya (PEWIRA) serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dengan sokongan UKM Specialist Centre serta Double Event Management.

“Kerjasama pelbagai pihak ini mencerminkan sinergi antara institusi pendidikan, badan bahasa, pertubuhan sastera dan sektor swasta dalam memperkukuh kedudukan bahasa kebangsaan serta memartabatkan seni persembahan sebagai wahana pendidikan yang berimpak tinggi,” katanya.

-- BERNAMA