Pencalonan Anugerah Buku Negara Dibuka Hingga 15 Sept

Pengarah Urusan Orange Economy Consortium Dr Hasan Hamzah

Oleh Wartawan Bernama Lifestyle

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Pencalonan bagi Anugerah Buku Negara (ABN) ke-21 kini dibuka hingga 15 Sept ini bagi mengiktiraf kecemerlangan industri penerbitan negara yang merangkumi karya ilmiah, akademik, profesional dan umum.

Dianjurkan oleh Orange Economy Consortium (OEC) dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Buku Negara dan Yayasan Teras Utama, anugerah itu dijadualkan berlangsung dari 6 hingga 8 Nov depan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengarah Urusan OEC Dr Hasan Hamzah berkata pencalonan terbuka kepada penerbit universiti awam dan swasta, institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), ahli Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia serta persatuan penerbit.

Penerbit buku bumiputera dan agensi kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia juga dipelawa untuk menyertai anugerah tersebut.

Penyertaan akan dinilai oleh panel juri profesional yang diketuai Pengerusi Majlis Penasihat ABN Tan Sri Prof Emeritus Dr Anuwar Ali dengan proses penjurian dijadualkan dari 15 Sept hingga 15 Okt depan. 

Selain itu, beliau berkata OEC turut menganjurkan Anugerah Telenovela ke-11 bagi mengiktiraf novel dan karya fiksyen tempatan yang berjaya diadaptasi kepada drama bersiri, telefilem atau filem untuk siaran televisyen dan platform penstriman.

Menurutnya anugerah itu merangkumi karya yang disiarkan menerusi stesen televisyen seperti RTM, TV3 dan Astro, selain platform penstriman digital (OTT) termasuk Viu, Netflix serta platform seumpamanya.

“Pengiktirafan itu mengambil kira perkembangan pesat industri kreatif yang menyaksikan semakin banyak karya sastera diadaptasi ke medium visual, termasuk penerbitan berskala kecil menggunakan teknologi mudah alih seperti telefon pintar.

“Penilaian bukan tertumpu kepada kos penerbitan atau teknologi yang digunakan, sebaliknya in kepada kreativiti, kekuatan penceritaan serta kualiti adaptasi daripada novel atau buku kepada karya audiovisual,” katanya yang berharap penganjuran kedua-dua anugerah dapat memperkukuh ekosistem industri buku serta kandungan kreatif negara, selain menggalakkan penghasilan karya berkualiti tinggi yang mampu memberi impak kepada masyarakat.

-- BERNAMA