MPO Hidupkan Semula Legasi Muzik Alfonso Soliano Untuk Santapan Generasi Muda
Oleh Wartawan Bernama Lifestyle
KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) bakal menghidupkan semula karya Alfonso Soliano menerusi “A Tribute to Alfonso Soliano”, sebuah konsert yang meraikan legasi berpanjangan tokoh muzik itu selain memperkenalkan karya-karyanya kepada generasi baharu.
Dijadualkan berlangsung pada 2 Sept depan di Dewan Filharmonik Petronas, konsert itu akan menampilkan pilihan karya Alfonso Soliano, termasuk beberapa rampaian yang dipilih bersama-sama oleh MPO dan keluarga Soliano.
Konduktor Ahmad Muriz Che Rose menyifatkan Soliano sebagai tokoh perintis yang pengaruhnya terus membentuk perkembangan muzik simfoni Malaysia hingga hari ini.
“Apa sahaja yang kita dengar hari ini, karya simfoni Malaysia… benihnya sudah ditanam oleh Alfonso.
“Segala yang kita dengar hari ini… ada akar umbinya pada Alfonso Soliano, yang memainkan peranan sangat besar dalam menghimpunkan pemuzik pada ketika itu untuk menghasilkan muzik bertaraf dunia,” katanya pada sesi media baru-baru ini.
Muriz berkata program berkenaan mengimbangi persembahan yang mengekalkan keaslian karya asal Soliano dengan interpretasi baharu dalam susunan orkestra.
“Ada lagu yang kami kekalkan seperti bentuk asalnya. Ada karya tertentu yang dikembangkan menjadi sesuatu yang berbeza… supaya lebih sesuai dipersembahkan oleh orkestra. Kami juga beri sedikit sentuhan irama jaz, kami simfonikan bahagian tertentu dan ada beberapa lagu yang dinyanyikan, manakala sebahagian lagi dipersembahkan secara instrumental,” katanya.
Antara karya yang menjadi tumpuan ialah Dawn to Darkness, Tunas Kasih serta beberapa karya daripada album Tiga Trombone.
Bagi anak perempuan Soliano, Isabella, konsert itu menjadi wadah bermakna untuk memperkenalkan karya bapanya kepada khalayak yang lebih luas.
“Sekarang sudah tiba masanya… kami mahu berkongsi muzik Alfonso Soliano menerusi MPO. Ini kerjasama yang sudah lama kami nantikan,” katanya.
Digelar Bapa Muzik Melayu Moden, Alfonso Soliano ialah komposer, konduktor, penggubah dan pendidik muzik yang memainkan peranan penting dalam membentuk landskap muzik orkestra dan muzik Melayu di Malaysia.
Konsert akan turut disertai The Solianos, yang menampilkan Isabella Soliano (vokal), Don Alfonso Soliano (bes), Condrado Soliano (flugelhorn/trumpet), Tristano Soliano (piano/vokal), Eddie Kismulardy (saksofon alto) dan Arthur Kam (dram).
Mereka akan mempersembahkan karya-karya yang terus dikenang termasuk Ku Kan Kembali, Airmata Berderai, Rindulah Rindu, Ku Puja Alam, Kasih Sayang, Blues for Bangkok, East to West dan Pacita Blues.
Harga tiket bermula RM249 hingga RM399, manakala tempat duduk Suite ditawarkan pada harga RM449 dan RM499 setiap satu, termasuk hidangan ringan.
-- BERNAMA