Songket, Rotan Serlah Identiti Baharu Swiss-Grand Beach Resort Kuantan
Oleh Norhidayyu Zainal
KUANTAN, 5 Sept (Bernama) -- Sentuhan songket berwarna-warni dan anyaman rotan menjadi antara elemen utama yang menyerlahkan identiti baharu Swiss-Grand Beach Resort Kuantan susulan transformasi menyeluruh dan memperoleh penarafan lima bintang pada Januari lepas.
Terletak di Pantai Balok, di sini, resort berkenaan menggabungkan konsep kontemporari dan minimalis dengan warisan tempatan menerusi elemen songket di bilik serta sepanjang koridor, manakala rotan digunakan pada kepala katil bagi mengekalkan ciri-ciri Malaysia.
Pengurus Besarnya Sonnie Lauh berkata pemilihan kedua-dua elemen itu bertujuan mengetengahkan warisan negara, dengan songket mencerminkan identiti Pahang.
“Tidak kira semoden mana sesebuah tempat itu, elemen atau motif tradisional perlu diterapkan supaya identiti sebenar sebagai jenama Malaysia dan warisan negara terus dapat dirasai,” katanya kepada Bernama selepas pelancaran program OSK Beach Combing (COMB-AT), baru-baru ini.
Lauh berkata transformasi resort berkenaan merangkumi penambahbaikan kesemua 306 bilik serta kawasan awam termasuk lobi, Garden Terrace dan The Deli.
Penarafan lima bintang itu turut membawa kepada penjenamaan semula daripada Swiss-Garden kepada Swiss-Grand Beach Resort Kuantan, sekali gus menjadikannya hartanah pertama di bawah jenama premium Swiss-Grand di Malaysia.
Resort yang mula beroperasi pada 1998 itu menawarkan pelbagai kategori penginapan, antaranya bilik mewah, bilik keluarga dan suite eksekutif dengan keluasan antara 40 hingga 72 meter persegi.
Menurut Lauh, tumpuan khusus diberikan kepada bilik keluarga bagi memenuhi corak perjalanan pelancong tempatan dan Singapura yang lazimnya bercuti bersama-sama dengan keluarga.
Resort itu turut menerima pelanggan korporat yang mengadakan mesyuarat dan aktiviti pembinaan pasukan pada hari bekerja, manakala hujung minggu serta cuti sekolah lebih tertumpu kepada percutian keluarga.
“Kami mahu menjadikan resort ini sebagai antara ‘kad panggilan’ Kuantan, iaitu tempat yang terus diingati apabila orang mencari penginapan untuk percutian keluarga, acara korporat mahupun aktiviti rekreasi,” katanya, menambah transformasi itu memberikan kesan positif kepada prestasi resort apabila ketibaan pengunjung dan kadar penghunian meningkat antara 30 hingga 40 peratus.
Dalam memenuhi keperluan keluarga, resort berkenaan menyediakan kolam permainan air kanak-kanak dan Young Citizens of the World Kids’ Club yang dilengkapi ruang permainan interaktif selain aktiviti bola tampar pantai, bola sepak mini, memanah, tenis, pickleball, melukis batik serta kelas memasak ketika musim cuti sekolah.
Selain itu, transformasi landskap hijau di sekitar resort turut membolehkan premis berkenaan meraih tempat kedua dalam pertandingan landskap anjuran Jabatan Landskap Negara baru-baru ini.
Lauh berkata resort berkenaan kini menjadi antara destinasi pilihan pengunjung yang memandu dari Lembah Klang, manakala pengoperasian Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kelak dijangka memudahkan perjalanan dan menarik lebih ramai pelancong ke Kuantan.
Dalam pada itu, Lauh berkata kedudukan resort di kawasan pesisir menuntut komitmen berterusan untuk memelihara kebersihan pantai dan persekitarannya, termasuk menerusi penglibatan dalam program OSK Beach Combing (COMB-AT) di Pantai Balok sebagai sebahagian daripada tanggungjawab alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
“Sebagai pengendali perniagaan di kawasan pesisir, kami bukan sahaja mahu menawarkan penginapan yang baik, tetapi juga bertanggungjawab menjaga pantai dan persekitaran supaya kekal bersih dan hijau,” katanya.
-- BERNAMA